fbpx
Mohd. Syahril Alias (kiri) dan Sofea Munira menunjukkan bagasi yang ditawarkan kepada jemaah umrah Hejira di pejabat mereka di Nilai baru-baru ini.

Hejira fokus pelanggan umrah daripada golongan muda, VIP

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

NILAI – Benarlah kata orang, pengalaman menjadi guru terbaik untuk individu menjadi lebih matang dan memperbaiki kesilapan atau kekurangan lalu.

Meskipun perit dihadapi pasangan muda ini yang memba­ngunkan Hejira Travel & Tours Holdings Sdn. Bhd. (Hejira) pada tahun 2020 gara-gara cetek pe­ngalaman dalam permohonan le­sen perkhidmatan umrah dan membuka syarikat baharu dalam industri ini, terselit seribu pe­ngajaran terbaik yang diperoleh mereka selepas itu.

Pengarah Urusan Hejira, Mohd. Syahril Alias bersama isterinya, Sofea Munira Ahmad Shahriza sebelum ini hanya memiliki kedai perabot dan juga terlibat dalam bidang pembuatan tetapi setelah mendapat jemputan mengerjakan umrah daripada seorang rakan usahawan telah membuka minda mereka untuk meneroka bidang baharu tersebut.

Sekembalinya dari Tanah Suci, kedua-dua pasangan yang berusia 30 tahun berasal dari Terengganu itu telah dipelawa mencari pelanggan baharu yang mahu mengerjakan umrah dan bertindak sebagai ejen dengan penjanaan hasil pendapatan da­ripada komisen yang menarik.

“Kami adalah ejen bagi syarikat perkhidmatan umrah tersebut selama tiga tahun.

“Sepanjang tempoh tersebut, kami dapati perkhidmatan yang ditawarkan oleh syarikat tersebut semakin teruk sehingga me­nimbulkan pelbagai isu yang memberi kesan kepada jemaah. Inilah impak daripada pengurusan yang tidak diurus dengan baik.

“Pengalaman melihat seorang pelanggan yang membayar sebahagian daripada pakej umrah dengan menggunakan duit syi­ling daripada simpanannya tetapi tidak dapat mencapai hajatnya di Tanah Suci, membuatkan hati kami luluh kerana merasai pe­langgan kami telah teraniaya.

“Kisah sedih ini menyuntik hati kecil saya untuk bertekad membuka perniagaan sendiri kerana kami melihat sendiri bagaimana ada jemaah yang tidak dapat makan, tiada disediakan bimbingan yang lengkap daripada mutawif dan petugas sedangkan dalam pakej, segala­nya telah dibayar,” katanya ketika ditemui di sini baru-baru ini.

Berazam untuk menyediakan perkhidmatan terbaik kepada jemaah umrah maka terbinalah Hejira yang mana pada peringkat awal kedua usahawan ini telah melengkapkan diri dengan menghadiri beberapa kursus berkaitan umrah serta menyediakan segala dokumen yang diperlukan untuk memperoleh lesen daripada Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya Malaysia (Motac).

“Ia satu tempoh yang sukar dan dalam keadaan tersebut, kami telah ditawarkan dengan cadangan ‘jalan pintas’ daripada pelbagai pihak yang kami gelar ‘ulat’ untuk memudahkan kami mendapatkan lesen umrah lebih pantas dan mudah sehingga me­libatkan kerugian berpuluh ribu ringgit.

“Bersandarkan ‘lesen’ yang dijanjikan oleh ulat tersebut, kami telah membawa sekumpulan jemaah ke Tanah Suci tetapi dalam masa yang sama pihak Motac te­lah membuat serbuan ke pejabat, menyita dan merampas segala dokumen serta pelbagai lagi barangan di pejabat untuk tindakan lanjut.

“Ketika itu, baru kami me­­n­yedari bahawa kami telah ditipu dan setelah menunjukkan lesen yang ada telah membuktikan bahawa ia tidak sah.

“Kami dikenakan denda sehingga RM500,000 tetapi kami mengemukakan ra­yuan akhirnya jumlah denda dapat dikurangkan,” terangnya.

Sofea Munira berkata, ekoran kejadian tersebut, Hejira telah dibimbing sepenuhnya oleh pihak pengurusan tertinggi Motac sehingga berjaya mendapatkan lesen umrah yang sah.

“Proses tersebut berjalan lancar dan pantas membolehkan kami bero­perasi secara sah pada bulan Januari tahun 2023 dan seterusnya membawa jemaah umrah pertama kami pada bulan itu juga,” ujarnya.

Mengulas lanjut, Mohd. Syahril menerangkan, bersandarkan pengalaman lalu sebagai ejen, beliau mahu mencari kelainan menerusi Hejira untuk membawa lebih ramai jemaah umrah berusia muda atas faktor fizikal yang lebih cergas untuk melakukan pelbagai ibadah di Tanah Suci.

Katanya, syarikat sentiasa memberi pendedahan kepada kumpulan tersebut untuk menarik minat golongan muda mengerjakan umrah dengan gimik promosi dan pemasaran yang unik selain menyelitkan konsep premium dalam perkhidmatan yang ditawarkan.

Pakej umrah daripada serendah kira-kira RM10,000 hinggalah kepada hampir RM25,000 untuk pakej VIP yang menyediakan pelbagai kemudahan yang lengkap kepada pelanggannya.

Tambah beliau, purata umur pelanggan yang disasarkan adalah antara 20 hingga 35 tahun dan syarikat membawa kira-kira 200 jemaah setiap bulan.

Selain itu, bagi menyumbang pendapatan lebih stabil, syarikat juga mengendalikan pakej umrah dalam kalangan orang kenamaan atau VIP yang mahukan perhatian dan perkhidmatan lebih privasi.

Mohd. Syahril menjelaskan, lebih kurang 70 peratus daripada pelanggannya terdiri daripada golongan VIP. -KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN