fbpx

Dana LiKES RM30 juta bantu majikan sediakan latihan industri

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Menteri Sumber Manusia, Steven Sim Chee Keong (dua dari kiri) merasmikan Geran Padanan Latihan Industri untuk Perusahaan Kecil dan Sederhana (LiKES) oleh TalentCorp di ibu negara hari ini.

KUALA LUMPUR – Talent Corporation Malaysia Berhad (TalentCorp) memperuntukkan dana sebanyak RM30 juta sebagai Geran Padanan Latihan Industri untuk Perusahaan Kecil dan Sederhana (LiKES) bagi membantu perusahaan kecil dan sederhana (PKS) serta syarikat pemula menyediakan latihan industri.

Menteri Sumber Manusia, Steven Sim Chee Keong berkata, geran yang julung kali diperkenalkan TalentCorp tersebut boleh dimohon oleh PKS serta syarikat pemula bermula hari ini dan dianggarkan bakal manfaatkan kira-kira 30,000 pelatih industri di negara ini.

Menurut beliau, langkah tersebut sejajar dengan sasaran negara mencapai 35 peratus tenaga mahir menjelang 2030 serta pelaburan diluluskan sebanyak RM329. 5 bilion tahun lalu yang berpotensi mewujudkan kira-kira 130,000 peluang pekerjaan dalam negara.

“Kita sedar terdapat kekangan daripada segi kemampuan membayar elaun kepada pelatih dan juga taburan (tempat latihan) yang tidak seragam kerana kebanyakannya tertumpu di Lembah Klang, Pulau Pinang dan Jobor. Bagi merancakkan lagi program latihan amali ini kita perkenalkan LiKES.

“Saya yakin dengan adanya geran padanan LiKES ini mungkin kita akan dapat banyak syarikat-syarikat termasuk di pantai timur mengadakan banyak latihan amali. Kita jangka akan mengandakan penglibatan syarikat terlibat.

“Selain itu, berkuat kuasa serta-merta, majikan boleh menggunakan sehingga 50 peratus daripada baki levi mereka pada Januari 2024 untuk tahun tafsiran Skim Latihan Perindustrian (ITS) bagi menggalakkan majikan mengadakan latihan amali,” katanya pada Majlis Perasmian LiKES di Plaza Vads dekat sini hari ini.

Dibawah LiKES, TalentCorp akan membayar semula kepada majikan RM250 sebulan bagi setiap pelajar pengajian Sijil Kemahiran Malaysia (SKM) Tahap 1 hingga Tahap 3, Diploma, Diploma Kemahiran Malaysia (DKM) yang diambil menjalani latihan industri.

Bagi pelajar yang mengikuti Diploma Kemahiran Lanjutan Malaysia (DLKM), Ijazah Sarjana Muda, Ijazah Sarjana atau Sijil Profesional, TalentCorp akan membayar semula RM300 sebulan kepada majikan terlibat.

Dalam pada itu, beliau turut memaklumkan, kerangka Dasar Sumber Manusia Negara yang bakal diumumkan pada Mei 2024 akan meliputi dasar latihan industri.

Menjawab soalan pemberita mengenai kertas putih cadangan gaji minimum siswazah, beliau menjelaskan, perkara itu masih di peringkat awal.

“Kita kena lihat apa diketengahkan Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT), tetapi tahun ini (memang) kita akan buat kajian semula ke atas gaji minimum,” katanya.

Mengulas tuntutan Indonesia supaya memorandum persefahaman (MoU) membabitkan sektor formal pekerja dari negara itu ke Malaysia dikaji semula, beliau meminta Indonesia mengikut proses dalam perkara berkenaan.

“Kita ikut proses. Perkara ini akan dibincang dalam mesyuarat jawatankuasa bersama antara Indonesia dan Malaysia yang akan berlangsung pada bulan Mei nanti. Jadi ikut proses,” katanya. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI