LEBIH seminggu industri hiburan tanah air ‘mendidih’ dengan kontroversi tangkap khalwat bintang utama drama Terjerat, Aliff Aziz dan Ruhainies.
Berita mengejutkan itu menjadi bualan hangat satu negara bahkan dalam media sosial ramai ‘membelasah’ dua selebriti terbabit lebih-lebih lagi Aliff Aziz yang sudah banyak kali ‘kantoi’ mencurangi isterinya, Bella Astillah.
Majoriti menzahirkan rasa simpati dan tidak putus-putus memberikan kata semangat buat Bella yang berkali-kali menjeruk rasa apabila Aliff bermain kayu tiga.
Lebih tragis, kali ini Aliff ditangkap berkhalwat dengan rakan karib Bella, Ruhainies sehingga ibu kepada dua anak itu nekad memfailkan penceraian terhadap jejaka kelahiran Singapura itu.
Berita panas ini turut meraih perhatian ramai pelakon senior yang berkongsi pandangan tentang bahaya cinta lokasi.
Kata mereka, sepatutnya pelakon bersikap profesional dan tidak terbuai dengan perasaan hingga mengundang petaka di kemudian hari.
Hakikatnya, cinta lokasi bukan perkara baharu dalam industri hiburan Malaysia mahupun luar negara. Banyak sudah kejadian yang dapat kita lihat sebelum sehingga ada yang bercerai-berai dek penangan terjerat cinta lokasi.
Kesannya mungkin tidak teruk bagi yang masih bujang, namun berbeza buat yang sudah berumah tangga kerana boleh merosakkan keharmonian hubungan dengan pasangan.
Sewajarnya, letakkan limitasi dalam pergaulan dengan rakan gandingan, usah berlebih-lebih sehingga terbit rasa suka di hati.
Selain itu, urusan kerja selesaikan di tempat kerja dan elakkan berlanjutan di luar. Di lokasi penggambaran ada cukup masa untuk cipta keserasian dan berbincang soal penjiwaan watak. Tak perlu bawa hingga ke kedai makan atau rumah!
Hormatilah status rakan gandingan lebih-lebih lagi jika mereka sudah berkahwin. Mahu ‘berguru’ atau mencari ‘chemistry’ bukan tiket untuk anda berlebih-lebih sehingga terjadi perkara yang mendatangkan aib kepada diri sendiri dan orang lain.
Bahana cinta lokasi tidak terhenti di situ kerana turut beri kesan terhadap kelancaran kerja, mood rakan pelakon dan kru sekiranya timbul masalah di set penggambaran.
Rumah produksi juga terpaksa menanggung kerugian terutama jika kisah cinta lokasi itu menjadi sorotan ramai sehingga mengundang gerakan boikot atau masyarakat hilang selera menyaksikan naskhah yang dihasilkan.
Apa yang berlaku kepada Aliff dan Ruhainies seharusnya dijadikan iktibar buat semua khususnya mereka yang masih hijau untuk memahami sepak terajang industri seni.
Sedar atau tidak, di sekeliling anda ada banyak ‘CCTV’ memerhatikan apa yang anda lakukan. Pantang silap akan kecoh diperkatakan dan tidak mustahil anda hilang pendapatan apabila banyak pihak menolak untuk bekerjasama.
Bukankah itu merugikan? Lebih malang kalau sudah ada nama, sekelip mata usaha anda menempatkan diri dalam industri jadi sia-sia.
Perkara ini bukan untuk industri hiburan tetapi semua bidang kerjaya kerana ia boleh berlaku kepada sesiapa sahaja. Seronoknya sebentar sahaja, buruk banyak menanti. Guna akal sebaiknya, tepuk dada tanya selera!














