fbpx

Lelaki OKU culik budak 8 tahun diarah jalani penilaian psikiatri

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Gambar hiasan

KUCHING – Seorang lelaki orang kelainan upaya (OKU) ditahan selepas ditangkap kerana cuba melarikan seorang kanak-kanak perempuan berusia lapan tahun.

Ketua Polis Daerah Kuching, Asisten Komisioner Ahsmon Bajah berkata, suspek berusia 30 tahun itu telah didakwa di Mahkamah Kuching kelmarin, di bawah Seksyen 365 Kanun Keseksaan dan dibaca bersama Seksyen 511 kanun sama.

“Mahkamah telah memerintahkan penahanan suspek di Hospital Sentosa, Kuching untuk penilaian psikiatri,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Beliau berkata, kes akan disebut semula pada 22 April ini setelah laporan perubatan diterima.

Terdahulu, Ahsmon berkata suspek ditangkap kira-kira pukul 6.55 petang, 11 Mac lalu selepas berjaya dicekup oleh orang awam kerana cuba melarikan kanak-kanak terbabit ketika sedang bermain di luar rumahnya di kawasan Lapangan Terbang Antarabangsa Kuching (LTAK).

Katanya, turut dirampas kereta Perodua Bezza yang digunakan suspek.

“Siasatan awal mendapati suspek merupakan pemegang kad OKU dengan masalah pembelajaran dan telah menjalani rawatan di Hospital Umum Sarawak (HUS) sejak tahun 2001 untuk Attention Deficit Hyperactive Disorder (ADHD),” katanya. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI