fbpx
SUHU Ramadan 2024 Diana Danielle ternyata jauh berbeza dengan apa yang dilewati tahun lalu. Jika sebelum ini naik turun mahkamah untuk meleraikan ikatan, Diana kini menebus kembali kerukunan bahagia yang pernah hilang dengan penuh kematangan.

Ramadan 2023, saya banyak buat silap – Diana Danielle

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

KETIKA beberapa selebriti tanah air bergelut dalam gelombang rumah tangga, lain pula arus yang dilalui si cantik Diana Danielle ketika ini.

Jika tahun lalu Diana dan suaminya Farid Kamil turun naik mahkamah bagi menyelesaikan kemelut dan permohonan cerai sepanjang bulan Ramadan, tahun ini situasi berbeza dihadapinya.

Merenung semula kisah lalu, jauh di sudut hatinya, Diana yakin tiada manusia yang terlepas daripada menghadapi jatuh bangun dalam kehidupan.

Baginya, tahun lalu adalah antara fasa terendah dalam hidup yang pernah dilaluinya bersama keluarga, termasuk suami tercinta.

Ironinya pula, terlalu banyak pengajaran yang diperoleh daripada kesilapan tersebut.

RAMADAn kali ini disambut sederhana, namun sarat kesyukuran selepas melalui episod duka pada tahun lalu.
– AFIQ RAZALI

Keluarga bersatu

“Terlalu banyak perkara yang saya pelajari dalam hidup sepanjang tahun lalu khususnya ketika berdepan kemelut rumah tangga sekitar Ramadan.

“Saya juga sama seperti orang lain, ada tahun tidak bertuah dan melalui jatuh bangun.

“Tahun lalu saya banyak buat kesilapan dan begitu juga dengan Farid. Semua itu adalah perjalanan hidup yang perlu semua hadapi sebagai makhluk-Nya,” kata Diana kepada HibGlam baru-baru.

Bercakap tentang kehidupannya ketika ini, aktres berusia 33 tahun itu mendefinisikan suhu rumah tangganya berlangsung indah dan semakin baik.

Ramadan pada tahun ini bahkan disifatkan sempurna dan masih diberi peluang menikmati rasa bahagia sebagai isteri.

“Rasa syukur, tenang dan gembira sangat besar dalam jiwa saya, suami serta anak-anak.

“Selepas semua berlaku, kami sangat bersyukur kerana masih bersama sehingga ke hari ini. Bahkan hubungan kami sekeluarga semakin erat,” ujar bintang Hanyut itu.

Dikenali sebagai individu yang sangat positif, pemilik nama penuh Diana Danielle Danny Beeson itu yakin setiap keajaiban dalam hidupnya adalah kuasa Tuhan yang tidak terlawan.

“Selepas melalui semua fasa tersebut, saya yakin tiada kuasa yang mampu lakukan keajaiban dan perbetulkan semuanya kecuali Allah.

“Alhamdulillah, kami membentuk semula keluarga ini dengan arah lebih jelas dan belajar menghargai setiap perkara dimiliki,” ujarnya terharu.

TIDAK pernah menyesal, Diana berpendapat kemelut yang pernah dilaluinya sebelum ini mengajarnya untuk lebih menghargai apa yang dimiliki, iaitu keluarga.

Sambung belajar

Bersikap optimis, Diana yang kini kembali bergelar pelajar bagaimanapun mengakui sedang berjuang dalam tempoh yang sukar.

“Sangat sukar!,” katanya ibu anak dua yang menyambung pengajian dalam jurusan Diploma Pengurusan Perniagaan di Kolej dan Universiti Antarabangsa (INTI) sejak Januari lalu.

Akuinya, rasa teruja dan semangat berkobar-kobar pada peringkat awal selepas perlu membahagikan masa terhadap kerjaya dan pengajian.

“Awalnya pasti rasa sangat teruja sebab dapat sambung belajar tetapi apabila sudah terlibat dengan penggambaran dan banyak jemputan majlis, barulah saya benar-benar struggle.

“Namun, saya sebenarnya sudah bersedia secara mental dan menjangka situasi sebegitu. Contohnya ada juga momen saya dan Farid lambat keluar makan sebab perlu siapkan tugasan,” tambahnya.

Dihimpit kekangan kerja, penggambaran dan kesibukan menguruskan keluarga, Diana bersyukur kerana memiliki suami yang sentiasa memberi sokongan tanpa henti.

“Farid banyak menyokong dan dialah tulang belakang saya ketika ini. Banyak bersabar dan beri semangat supaya saya tak mudah patah semangat.

“Inisiatif sambung belajar ini sebenarnya bukan untuk diri sendiri sahaja tetapi demi kelangsungan hidup dan bagi memberi contoh terbaik kepada anak-anak.

“Saya sentiasa jelaskan pada anak-anak bahawa meskipun usia sudah berusia kita tetap boleh sambung belajar. Ilmu sentiasa ada dan kita perlu kejar,” ungkapnya.

MENGAKUI sukar membahagikan masa antara pengajian, karier dan keluarga, Diana percaya keputusannya untuk menyambung pelajaran bukan usaha yang sia-sia dan sentiasa mendapat sokongan suami tercinta.

Sempat berkongsi, Diana berkata keputusan menyambung pelajaran dibuat memandangkan sudah terlepas peluang pada usia muda dek kekangan kewangan dan kesibukan karier.

“Saya seronok dapat tunjuk nilai positif kepada anak-anak dan rasa bangga dengan diri sendiri. Sejujurnya pernah rasa terkilan sebab tak dapat sambung belajar.

“Saya sudah cuba beberapa tahun lepas tetapi gagal sebab ketika itu juga anak-anak masih kecil, kerjaya pula agak sibuk sebab perlu uruskan semuanya sendiri,” kongsinya.

Selain nilai tambah dalam kehidupan, keputusan menyambung pengajian yang dijangka memakan masa selama dua tahun setengah juga bagi memenuhkan ilmu berkaitan pengurusan syarikat.

“Saya sudah ada syarikat sendiri tetapi rasa seperti kurang ilmu dalam pengurusan. Itu adalah alasan paling praktikal untuk saya sambung belajar. Belajar sendiri secara online mungkin boleh tetapi kepuasan itu seperti tidak cukup.

“Saya juga terfikir sampai bila hendak menjadi selebriti sahaja. Saya perlu belajar untuk menjadi usahawan yang berjaya,” katanya mengakhiri perbualan.

Aktres berusia 33 tahun itu mendefinisikan suhu rumah tangganya berlangsung indah dan semakin baik bahkan sempura kerana masih diberi peluang menikmati rasa bahagia sebagai isteri.
Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN