fbpx

Pasangan kekasih antara empat ditahan edar pelbagai jenis dadah

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Antara dadah yang dirampas susulan penahanan empat individu di Subang Jaya dan Seri Kembangan, Rabu lalu.

SUNGAI BULOH – Polis menumpaskan sindiket pengedaran dadah didalangi empat warga tempatan termasuk pasangan kekasih menerusi serbuan berasingan di Subang jaya dan Seri Kembangan, Rabu lalu.

Ketua Polis Selangor, Datuk Hussein Omar Khan berkata, sepasukan anggota daripada Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Petaling Jaya menjalankan operasi tersebut sekitar pukul 10.30 malam.

“Kegiatan suspek terbongkar susulan penahanan sebuah kereta jenis Perodua Axia dinaiki dua individu dipercayai kekasih di kawasan Subang Jaya.

“Pemeriksaan kemudiannya membawa kepada rampasan satu ketulan ganja dengan berat satu kilogram, 100 biji eramin 5 dan enam botol kodein,” beliau berkata demikian pada sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Sungai Buloh di sini, hari ini.

Menurut Hussein, hasil soal siasat terhadap suspek membawa kepada serbuan di sebuah rumah sekitar Seri Kembangan.

“Kita (polis) berjaya menahan dua lelaki tempatan dipercayai terlibat dalam aktiviti sama.

“Selain itu, pemeriksaan dijalankan turut merampas 31 paket ketulan dan leraian ganja dengan berat 8.2 kilogram, 73 biji pil eramin 5 dan sebotol cecair kodein seberat 2,000 mililiter,” katanya.

Tambah beliau, semakan mendapati seorang daripada empat suspek yang diberkas memiliki rekod lampau berkaitan dadah.

“Selain itu, saringan mendapati dua suspek positif dadah jenis THC. Sitaan turut dijalankan melibatkan sebuah motosikal jenis Honda RS150R dan sebuah telefon pintar,” katanya.

Jelasnya, kesemua suspek kini direman tujuh hari bagi siasatan lanjut berhubung kes ini dan kes disiasat di bawah Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI