fbpx

Kerajaan peruntuk RM7.01 juta selenggara RKAT TUDM Pangkalan Udara Subang

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Mohamed Khaled meninjau proses naik taraf dan penyelenggaraan salah sebuah rumah kuarters diduduki anggota TUDM dekat Pangkalan TUDM Subang pada Majlis Ramah Mesra Bersama Warga TUDM di Pangkalan Udara Subang. FOTO oleh SADDAM YUSOFF / KOSMO!

SHAH ALAM – Kerajaan memperuntukkan sebanyak RM7.01 juta bagi perlaksanaan kerja-kerja baik pulih dan penyelenggaraan Rumah Keluarga Angkatan Tentera (RKAT) Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) di Pangkalan Udara Subang, tahun ini.

Menteri Pertahanan, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin berkata, jumlah tersebut merupakan sebahagian daripada peruntukan keseluruhan senggaraan berjumlah RM69.5 juta bagi RKAT TUDM.

Tambah beliau, kerajaan juga telah memperuntukkan sebanyak RM400 juta sebagai tambahan kepada RM200 juta yang telah disalurkan tahun lalu untuk warga Angkatan Tentera Malaysia (ATM) menerusi Belanjawan 2024.

“Sebanyak 65 unit rumah terlibat di dalam penambahbaikan kali ini. Ia meliputi skop pembaharuan cat, pembaikan biasa dan pembaikan ‘one-off’ bagi sebuah unit rumah yang mengalami kebakaran.

“Selenggaraan untuk 120 buah rumah lagi akan dilakukan secara berperingkat sehinggalah semuanya selesai dibaik pulih,” katanya ketika ditemui di Majlis Ramah Mesra Bersama Warga TUDM di Pangkalan Udara Subang, di sini hari ini.

Mohamed Khaled berkata, Kementerian Pertahanan sentiasa mendahulukan kebajikan warga ATM dan menyokong sebarang usaha yang meliputi kebajikan dan kemaslahatan warganya.

“Aspek kebajikan warga ATM menjadi teras utama yang dititikberatkan untuk memastikan tahap kesejahteraan warga sentiasa terpelihara.

“Dengan adanya kediaman yang sempurna, anggota ATM bukan sahaja boleh membina keluarga yang bahagia, mereka juga dapat fokus sepenuhnya pada tugasan yang digalas,” katanya.

Menurut Mohamed Khaled, ini merupakan kali pertama beliau berpeluang untuk melihat kehidupan para tentera di kem tersebut sejak dilantik sebagai Menteri Pertahanan.

“Oleh itu, saya ingin memberikan penghargaan secara terus kepada anggota yang tinggal di sini atas segala khidmat dan bakti mereka dalam menjaga keselamatan tanah air.

“Dalam pada itu, kehadiran saya juga adalah untuk melihat segala kerja-kerja yang dilakukan di kem ini,” katanya.

Dalam majlis sama, Mohamed Khalid turut menyampaikan sumbangan kebajikan kepada 20 orang warga TUDM yang terdiri daripada dua orang kanak-kanak istimewa dan pesakit kronik yang terdiri daripada warga TUDM dan anak anggota.

Inisiatif tersebut bertujuan untuk membantu meringankan beban kepada mereka yang memerlukan khususnya warga ATM dalam suasana menyambut Ramadan. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI