fbpx

Seorang maut, tujuh cedera bas ekspres langgar lori

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
KEADAAN bas ekspres yang terlibat dalam nahas di Kilometer 220.4 Lebuh Raya Utara-Selatan (arah utara), awal pagi tadi dan mangsa yang meninggal dunia (gambar kecil).

ALOR GAJAH – Seorang pemandu bas ekspres maut, manakala tujuh penumpang cedera selepas terlibat dalam nahas di Kilometer 220.4 Lebuh Raya Utara-Selatan (arah utara) di sini, awal pagi tadi.

Dalam kejadian kira-kira pukul 2.30 pagi itu, pemandu bas, Zulkarnain Jalil,41, mengalami kecederaan parah akibat tersepit di tempat duduk dan disahkan meninggal dunia di lokasi.

Ketua Polis Daerah Alor Gajah, Superintendan Arshad Abu berkata, ketika kejadian bas ekspres tersebut yang membawa 30 penumpang dalam perjalanan dari Terminal Bas Larkin, Johor Bahru menuju ke Terminal Bersepadu Selatan (TBS) di Bandar Tasek Selatan, Kuala Lumpur.

Katanya, setiba di lokasi bas ekspres tersebut telah melanggar bahagian belakang sebuah lori membawa muatan pasir yang sedang dipandu di lorong paling kiri.

“Akibat rempuhan itu pemandu bas ekspres mengalami cedera di kepala serta badan akibat tersepit di tempat duduk dan disahkan meninggal dunia oleh kakitangan perubatan.

“Seramai tujuh penumpang turut cedera dan dibawa ke Hospital Rembau serta Hospital Tuanku Jaafar, Negeri Sembilan untuk menerima rawatan,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Tambahnya, penumpang yang terselamat dan tidak mengalami sebarang kecederaan bagaimanapun meneruskan perjalanan ke TBS menaiki bas ganti.

Arshad berkata, mayat mangsa telah dihantar ke Unit Forensik Hospital Alor Gajah untuk proses bedah siasat dan kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987.

Dalam pada itu, Komander Operasi dari Balai Bomba dan Penyelamat Alor Gajah, Pegawai Bomba Kanan II, Hanizah Jaafar berkata, panggilan kecemasan diterima pada pukul 2.44 pagi dan sepasukan 12 anggota dikejarkan ke lokasi kejadian.

“Pasukan bomba telah menjalankan operasi mengeluarkan seorang mangsa yang tersepit sebelum diserahkan kepada polis untuk tindakan lanjut,” katanya. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI