BULAN penuh barakah yang dinanti-nanti umat Islam di seluruh dunia akan kunjung tiba dalam masa beberapa hari lagi.
Apabila masuknya bulan yang mulia ini, ramai yang mengambil peluang menambah amal ibadah dan mengumpul pahala.
Ini kerana segala amal kebaikan dalam bulan kesembilan dalam kalender Islam tersebut akan digandakan oleh Allah SWT.
Bagaimanapun, ada kalanya, sebagai manusia yang penuh khilaf, ada dalam kalangan kita tersasar daripada falsafah sebenar di sebalik bulan puasa ini.
Bagi menambah lagi pemahaman tentang Ramadan, wartawan Kosmo! AHAD, SITI SARAH NURUL LIYANA berkesempatan menemu bual pendakwah, Ustaz Jafri Abu Bakar Mahmoodi berkenaan penghulu bulan tersebut.
KOSMO! AHAD: Apakah perbezaan berpuasa dalam Islam dengan agama-agama lain yang menganjurkan amalan serupa?
JAFRI: Puasa dalam agama Islam adalah perintah syariat. Ini bermaksud ia dilakukan tanpa tujuan lain melainkan bagi mendapatkan keredaan Allah. Allah sebut dalam
Surah Al-Baqarah, ayat 183: “Wahai orang-orang yang beriman! Kamu diwajibkan berpuasa sebagaimana diwajibkan ke atas orang-orang yang dahulu daripada kamu, supaya kamu bertaqwa.” Menerusi ayat tersebut, kita faham bahawa orang terdahulu (sebelum umat Nabi Muhammad SAW) juga berpuasa.
Sebagai contoh, umat Nabi Isa AS, iaitu golongan Nasrani, diperintah untuk berpuasa selama 50 hari dalam setahun.
Sementara umat Nabi Musa AS iaitu Bani Israel selama 40 hari dalam setahun. Nabi Adam juga berpuasa pada setiap hari ke-13, 14 dan 15 di pertengahan bulan Islam. Tetapi umat terdahulu telah mengingkari perintah puasa dan mengubah mengikut kesesuaian mereka.
Sebagai contoh, sekiranya bulan puasa jatuh pada musim panas, golongan Bani Israel mengubah masa puasa kepada musim sejuk bagi memudahkan diri mereka.
Hasilnya, golongan sebelum kita serta golongan bukan Islam masa kini memiliki pelbagai jenis puasa yang mengikut kehendak mereka sendiri. Ini berbeza dengan umat
slam (umat Nabi Muhammad) yang masih lagi kekal dan patuh pada perintah Allah dan untuk mendapat keredaan Allah semata-mata.
Pada awal Ramadan, ramai memasang impian untuk membuat banyak kebaikan. Tiba di pertengahan dan akhir, impian dan azam itu hanya tinggal kenangan. Sebaliknya diganti dengan perkara melalaikan. Menurut ustaz, apakah faktor yang menyebabkan perkara ini berlaku?
Sebenarnya, Allah dah susun bulan Rejab dan Syaaban sebelum Ramadan supaya umat Islam dapat bina momentum dalam beribadah. Bulan Rejab disebut sebagai bulan gandaan pahala.
Pada bulan Rejab, umat Islam sepatutnya digalakkan untuk berpuasa sunat, qiamullail dan sebagainya.
Kemudian diteruskan pada bulan Syaaban ditambahkan lagi ibadat, seterusnya memaksimumkan ibadah pada bulan Ramadan.
Perumpamaannya sama seperti acara larian, kalau kita tak bina momentum dahulu, tiba-tiba pecut berhabis-habisan, pasti kita juga ‘pancit’ di tengah jalan.
Sejak kecil, kita didedahkan bahawa pada bulan Ramadan syaitan dan jin akan diikat sehingga tiba hari raya ia akan dilepaskan kembali. Sementara roh orang mati dibebaskan dan pulang ke rumah. Adakah perkara ini benar ustaz?
Menurut para ulama, apabila masuk bulan Ramadan, pintu syurga dibuka. Ini bermaksud, banyak ruang kebaikan terbentang kepada orang-orang beriman seperti dipermudahkan untuk buat ibadat dan ganjaran pahala digandakan. Pintu neraka ditutup pula bermaksud orang-orang beriman hilang keinginan untuk melakukan maksiat.
Berkenaan dengan syaitan dan jin yang besar-besar diikat, sama seperti yang difirmankan dalam Surah An-Nas.
Syaitan itu merupakan ‘penghasut’ yang menjauhkan umat Islam daripada Allah. Oleh itu, biarpun syaitan-syaitan besar diikat, namun syaitan-syaitan kecil dalam kalangan jin dan manusia masih lagi bebas.
Sebagai contoh, orang-orang terdekat yang menghasut kita mengingkari perintah Allah pada bulan puasa. Dalam masa sama, nafsu kita sendiri boleh menjadi ‘syaitan’ yang mendorong kita melakukan maksiat.
Sementara itu, tiada dalil yang menyatakan roh orang mati dibebaskan dan pulang ke rumah pada bulan puasa. Ini kerana roh yang sudah meninggal telah berada di alam barzakh dan tidak boleh kembali ke alam ini.
Ada segelintir umat Islam di negara ini menjadikan Ramadan sebagai bulan pesta makanan. Ada yang sudah susun menu berbuka dan bersahur sepanjang sebulan itu? Apakah pendapat ustaz mengenai fenomena ini?
Apabila seseorang itu mahu berniat untuk memanfaatkan Ramadan kepada amalan-amalan seperti bertadarus dan sebagainya, jadi mereka akan tertumpu pada usaha melaksanakan ibadah itu.
Sementara bagi sebahagian yang memasang niat untuk menjadikan Ramadan sebagai pesta makanan, maka, itulah yang akan menjadi fokus mereka pada bulan puasa nanti.
Nabi SAW bersabda, bulan Ramadan adalah Shahrul Mubarak iaitu bulan penuh keberkatan. Ini bermaksudnya setiap ibadah yang dilakukan orang beriman, akan mendapat keberkatan.
Oleh itu, penting untuk umat Islam mengubah persepsi mereka terhadap bulan Ramadan agar tidak terlepas daripada menerima keberkatan Ramadan. Bulan Ramadan sepatutnya menjadi pesta ibadah, bukan pesta makanan. Kita seharusnya mengikut sunnah Nabi SAW iaitu melewatkan sahur iaitu hampir dengan azan subuh. Kemudian amalan berbuka puasa dengan mengambil tiga biji kurma diikuti beribadat. Sewaktu moreh, baru ambil makanan berat sikit.
Kita juga dapati, ada segelintir umat Islam yang menyediakan makan berbuka secara berlebihan disebabkan terikut nafsu sehingga menyebabkan berlakunya pembaziran. Apakah hukum untuk mereka yang berbuat demikian?
Ramadan sebenarnya bulan tarbiah yang memupuk sifat qanaah iaitu pemikiran bahawa kita sentiasa berada dalam keadaan cukup. Kita disyariatkan berpuasa agar dapat merasai kesusahan yang dihadapi oleh golongan fakir dan miskin. Kita juga perlu membayar zakat fitrah untuk dibahagikan kepada orang-orang miskin.
Bagi mereka yang tidak mampu berpuasa atas dasar-dasar kesihatan, mereka perlu membayar fidyah yang turut disalurkan kepada orang fakir dan miskin.
Apabila dilihat pada situasi-situasi ini, sememangnya amalan berpuasa memiliki kaitan dengan menghayati kehidupan orang miskin.
Tetapi mereka yang tidak menghayati amalan berpuasa, mereka melakukan pembaziran secara sengaja sekali gus bercanggah dengan falsafah berpuasa itu sendiri.
Sengaja membazir, hukumnya haram. Allah merakamkan dalam Surah al-Isra’ ayat 27 yang bermaksud: “Sesungguhnya orang yang membazir itu adalah saudara syaitan dan syaitan itu adalah sangat ingkar kepada Tuhannya.” Jadi, berpada-padalah.
Di bandar-bandar besar, trend menganjurkan acara berbuka puasa di hotel-hotel sudah menjadi satu kelaziman. Malah, ada pihak yang menjemput orang bukan Islam untuk berbuka bersama. Apakah hukum berbuka bersama orang bukan Islam sedangkan mereka tidak berpuasa?
Seorang lelaki pernah bertanya kepada Rasulullah SAW: “Perbuatan apa yang terbaik di dalam Islam?” Rasulullah SAW menjawab, “Kamu memberi makan kepada orang lain.” (HR. Bukhari dan Muslim).
Dalam sabda Rasulullah tidak mengehadkan golongan yang diberi makan. Oleh itu, sesiapa sahaja yang menjamu makanan kepada orang, akan mendapat pahala.
Dalam konteks berbuka puasa, sesiapa yang menjamu orang yang berpuasa, maka pahalanya sama seperti pahala orang yang berpuasa.
Sementara pahala menjamu buka puasa kepada orang bukan Islam adalah sama seperti pahala memberi makanan pada hari-hari biasa.
Cuma, didoakan sekali agar mereka diberi hidayah. Semoga usaha kita menjadi asbab untuk mereka dapat melihat keindahan agama Islam itu sendiri.
Ketika ini, banyak masjid yang mula menganjurkan aktiviti berbuka puasa. Malangnya, hanya orang yang sama saja hadir. Orang lain seperti tidak dialu-alukan kerana bimbang makanan tidak cukup. Apakah pendapat ustaz mengenai perkara ini?
Saya faham kadangkala ada keterbatasan bagi pihak masjid untuk menyediakan makanan kepada orang ramai.
Masjid berhak untuk buat peraturan yang dirasakan sesuai dengan situasi tersebut. Yang diharapkan, dalam pelaksanaan peraturan tersebut, diutamakan juga soal adab.
Mereka tidak boleh halau orang daripada berbuka puasa, jadi pihak masjid perlu memikirkan cara terbaik menangani isu ini sekiranya timbul. Meraikan semua sekadar yang termampu.
Ketika Ramadan, umat Islam digalakkan melipat ganda amal ibadat. Bagaimanapun, ramai tidak merebut peluang itu disebabkan kesibukan hal dunia seperti tuntutan kerja dan sebagainya. Akhirnya, Ramadan berlalu seperti air sahaja. Apakah yang kita boleh buat dalam situasi ini?
Setiap orang perlu memaksimumkan bulan Ramadan. Sesetengah negara seperti Arab Saudi dan Brunei memberikan peluang kepada rakyat mereka untuk memiliki masa lebih untuk beribadat.
Walaupun perkara tersebut tidak diamalkan di Malaysia, umat Islam masih lagi boleh melakukan hal yang sama.
Pertama, umat Islam perlu merancang hari-hari di bulan Ramadan berkisarkan ibadah yang nak dilakukan.
Contoh, cari masjid berdekatan dengan tempat kerja supaya dapat melakukan ibadah tersebut sepanjang bulan Ramadan.
Jika tak sempat tadarus di masjid, boleh bertadarus di rumah bersama keluarga. Umat Islam juga boleh ambil cuti pada hujung Ramadan untuk menumpukan kepada malam-malam terakhir.
Kedua, bekerja juga satu ibadah yang memenuhi perintah Allah iaitu mencari nafkah halal untuk menyara keluarga.
Jadi, selagi kita niat kerana Allah, pekerjaan yang kita lakukan juga mendapat keberkatan berganda daripada Allah. Rebutlah peluang mendapat keberkatan bekerja di siang hari dan keberkatan beribadah di malam hari.
Kedatangan Ramadan cukup dinanti mereka yang ingin bertemu Lailatul Qadar. Boleh ustaz ulas keistimewaan hari tersebut bagi memberi semangat kepada umat Islam untuk terus beribadah tanpa jemu sepanjang Ramadan?
Malam Lailatul Qadar lebih baik daripada seribu bulan. Setiap amalan pada satu malam, sama seperti kita beribadah lebih 84 tahun.
Bayangkan dalam kehidupan kita, kita berjumpa dengan 10 Lailatul Qadar, amalan itu sahaja dah dapat 840 malam. Lebih dari umat sebelum kita yang hidup beratus-ratus tahun.
Rasulullah SAW bersabda: “Carilah Lailatul Qadar pada sepuluh akhir bulan Ramadan dalam malam ganjil.” Jadi, sekiranya umat Islam memperuntukkan 10 hari terakhir itu untuk menggandakan amalan ibadat, nescaya mereka akan jumpa satu hari Lailatul Qadar.
Syarat paling minimum untuk mendapat Lailatul Qadar adalah solat subuh dan isyak secara berjemaah. Sekiranya lebih banyak amalan, lebih berganda pahalanya.














