fbpx

Usah pandang sinis ‘tetamu bermusim’

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Selain mengadakan solat tarawih, surau-surau dan masjid-masjid juga biasanya menyediakan jamuan berbuka puasa pada bulan Ramadan.- Gambar hiasan

“Tahun lepas, semasa Ramadan aku pergi satu surau tidak jauh dari rumah untuk iftar dan kemudian solat tarawih, tapi aku rasa tak selesa beberapa jemaah asyik melihat atas bawah dengan pandangan sinis macam orang salah.

“Dia orang ingat aku ni kebulur sangatkah nak makan dekat situ, kebetulan aku tak sempat nak sampai rumah berbuka. Ada orang surau siap perli lagi, ‘tak pernah nampak pun, bila bulan puasa baru ada’.

“Memang aku tak pergi situ lagilah,” ungkap seorang rakan yang tinggal di satu taman perumahan di Melaka kepada penulis kala mengimbas pengalamannya pada Ramadan tahun lalu.

Penulis yang mendengar boleh memahami perasaannya. Pada hemat penulis, memang itu antara perasaan yang ramai orang pendam tapi tak pernah diluahkan.

Sesetengah ‘orang alim masjid atau surau’ mungkin berasa masjid atau surau hak mereka sahaja.

Kedatangan ‘tetamu bermusim’ atau ‘tetamu asing’ dari tempat lain sering disulami intuisi negatif dan wasangka terutama jika jamuan buka puasa atau moreh disediakan.

Ramadan tahun ini akan tiba beberapa hari lagi, dilema ini kembali menggamit pemikiran sesetengah orang di kala seruan mengimarahkan surau dan masjid bergema semula.

Hendak dijadikan cerita, kata rakan penulis, setibanya dia ke surau tersebut, dia terkejut apabila ternampak begitu banyak makanan.

“Masalahnya, aku nampak kat situ ada terlampau banyak makanan. Aneka juadah, dah macam mengalahkan bazar Ramadan sebab terlalu ramai sedekah.

“Jemaah yang ada tidaklah begitu ramai dan tak mungkin boleh habiskan. Tapi bila ada orang datang, mereka pula macam tidak alu-alukan kita,” dengusnya.

Kehadiran Ramadan yang mulia saban tahun adalah satu anugerah yang sangat agung buat orang yang beriman. Betapa banyaknya keistimewaan yang disediakan pada bulan ini.

Pahala dicurahkan, keampunan dan rahmat Allah SWT dibentangkan memenuhi setiap ruang dan waktu.

Seseorang yang berasa amalannya tidak cukup pada hari biasa berusaha bersungguh-sungguh mencari ganjaran pahala yang melimpah ruah dengan kedatangan bulan Ramadan.
Ketika Ramadan, semua orang berlumba-lumba untuk membuat kebaikan dan merebut ganjaran.

Manusia melipat gandakan amalan ibadah dengan memperbanyak solat, beriktikaf di masjid, bertadarus dan bersedekah. Apa salahnya kita raikan segala kebaikan yang hendak dilakukan orang lain termasuk mengimarahkan atau menjadi tetamu rumah-rumah Allah?

Memanglah sebenarnya amalan kebaikan itu termasuk hadir ke masjid patut dilakukan sepanjang tahun dan bukan tertumpu semasa Ramadan sahaja, namun pendekatan berdepan golongan ini pada hemat penulis bukanlah dengan cara memandang sinis mereka, menyindir atau menunjukkan kejengkelan.

Siapa tahu, dengan melihat kemesraan dan layanan penuh keterbukaan tanpa ‘penghakiman’, mereka terbuka hati untuk menjadi ‘ahli surau atau masjid’ selepas Ramadan dan sepanjang masa.

Bahkan sejujurnya, di kala situasi ekonomi yang buruk saat ini dan ramai yang mengalami masalah kewangan, penulis melihat tiada apa yang patut dipersoal kalau ada yang hadir ke mana-mana surau atau masjid untuk berbuka puasa kerana orang ramai berlumba-lumba bersedekah bukan akhirnya untuk dibazirkan.

Bukankah lebih besar orang ber­puasa yang dijamu berbuka, maka lebih besar pahala­nya?

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI