fbpx

Perdana Menteri rai majlis perkahwinan Ahli Parlimen Sungai Petani

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Anwar menghadiri majlis resepsi Dr. Mohammed Taufiq dan pasangannya di Dewan Kenangan MPSPK, Sungai Petani hari ini. - Foto oleh SHAHIR NOORDIN / KOSMO!

SUNGAI PETANI – Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim hari ini meluangkan masa menghadiri majlis perkahwinan Ahli Parlimen Sungai Petani, Dr. Mohammed Taufiq Johari, 28, dan pasangannya di sini.

Majlis berlangsung di Dewan Kenangan, Majlis Perbandaran Sungai Petani Kedah (MPSPK).

Ketibaan Anwar kira-kira pukul 12 tengah hari tadi disambut bapa pengantin lelaki yang juga Yang Dipertua Dewan Rakyat, Tan Sri Johari Abdul bersama isteri, Puan Sri Noraini Mohd.

Perdana Menteri hadir diiringi Yang Dipertua Dewan Negara, Datuk Mutang Tagal.

Anwar yang meluangkan masa kira-kira sejam pada majlis itu sempat bergambar dengan pasangan pengantin, Dr. Mohammed Taufiq dan Dr. Fathiya Ainul Mardhiyah Andri Nopendra, 26, bersama keluarga serta beramah mesra dengan tetamu yang hadir.

Turut hadir memenuhi undangan itu ialah Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail dan Menteri Perdagangan Dalam Negeri Dan Kos Sara Hidup, Datuk Armizan Mohd. Ali serta beberapa pemimpin lain.

Lebih 10,000 tetamu menghadiri majlis tersebut.

Anwar seterusnya meninggalkan majlis kira-kira pukul 1 tengah hari untuk melakukan lawatan kerja ke Pulau Pinang iaitu Hospital Seberang Jaya serta Lawatan dan Ramah Mesra ke Ibu Pejabat Polis Daerah Seberang Perai Tengah.

Dr. Mohammed Taufiq yang merupakan anak keenam daripada lapan beradik mendirikan rumah tangga dengan Dr. Fathiya Ainul Mardhiyah berasal dari Indonesia pada 24 Februari lalu.

Graduan Universiti Islam Bandung itu memenangi kerusi Parlimen Sungai Petani pada Pilihan Raya Umum ke-15 selepas menewaskan empat pencabarnya dengan majoriti 1,115 undi.

Ketua Angkatan Muda Keadilan (AMK) Kedah itu berpengalaman sebagai doktor pelatih di Hospital Al-Ihsan Bandung dan Hospital Dr Slamet di Garut, Indonesia.

Selepas pulang ke Malaysia, beliau berkhidmat di Klinik Al-Hadi, di sini. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI