fbpx

Zakat fitrah di Johor, RM7 hingga RM20

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
MOHD FARED (tengah) bersama Ketua Pegawai Eksekutif Majlis Agama Islam Negeri Johor (MAINJ) Nasri Md Ali (Kiri) dan Ketua Penolong Mufti Bahagian Fatwa Negeri Johor, Baharin Jalal (dua dari Kanan) menunjukkan tiga kadar bayaran zakat fitrah bagi Negeri Johor pada tahun 2024.

BATU PAHAT – Zakat Fitrah di negeri Johor diletakkan pada tiga kadar bermula RM7, RM12 dan RM20 bagi tahun 2024 bersamaan 1445 Hijrah.

Pengerusi Jawatankuasa Hal Ehwal Agama Negeri Johor, Mohd Fared Mohd Khalid berkata, pengumuman tiga kadar pembayaran zakat fitrah di Johor berdasarkan kepada harga beras mengikut gred dan jenis yang dimakan oleh kebanyakan penduduk Islam di negeri ini.

Menurutnya, kadar diambil kira mengikut timbangan satu gantang Baghdad bersamaan 2.6 kilogram.

“RM7 dikhususkan kepada umat Islam yang menjadikan makanan hariannya beras daripada jenis super tempatan manakala RM 12 bagi mereka yang menjadikan makanan hariannya beras import.

“RM20 pula kepada umat Islam di negeri Johor yang menjadikan makanan hariannya beras Super Wangi dan beras Basmathi.

“Bagaimana pun, rakyat yang menjadikan beras jenis super tempatan sebagai makanan harian namun terpaksa membeli beras import berikutan tiada bekalan di pasaran boleh membayar pada kadar lebih rendah iaitu RM7,” katanya ketika sidang akhbar selepas Majlis Pelancaran Program “MAINJ kan ada” di Maktab Rendah Sains Mara (MRSM) Batu Pahat hari ini.

Menurut Mohd Fared lagi, seramai 1,660 amil telah dilantik dan diberi tauliah bagi menjalankan tugas memungut fitrah di Johor.

“Pembayaran zakat fitrah boleh ditunaikan menerusi tiga cara iaitu menerusi pembayaran secara atas talian dan aplikasi TULUS, atau terus ke kaunter MAINJ di setiap cawangan atau daerah, atau boleh membayar kepada amil dilantik.

“Umat Islam digalakkan menunaikan zakat fitrah pada awal Ramadan bagi membolehkan agihan kepada fakir dan miskin disempurnakan sebelum
hari raya,” tambahnya lagi.

Ujarnya, MAINJ mengunjurkan RM24.296 juta pungutan zakat fitrah yang dikutip membabitkan 2.2 juta umat Islam di negeri ini.

“Pengiraan unjuran ini mengambil kira keadaan ekonomi pada waktu ini, iaitu dengan mengambil 15 peratus adalah pembayar bayar bagi RM 7.00 dan 70 peratus bagi pembayar RM
12.00 serta 15 peratus adalah pembayar bagi RM 20,” katanya.

Berkaitan bantuan Aidilfitri, MAINJ juga akan memberikan kepada golongan asnaf berjumlah RM14.63 juta.

“Ia membabitkan 6,911 ketua keluarga fakir dan 31,125 ketua keluarga miskin. Setiap ketua keluarga fakir mendapat RM400 selain RM300 bagi setiap ketua keluarga miskin.

“Sementara tanggungan, setiap keluarga fakir dan miskin pula akan mendapat bantuan Aidilfitri RM50 membabitkan 9,588 tanggungan keluarga fakir dan 40,932 tanggungan keluarga miskin,” katanya.-KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI