fbpx

‘Kenyataan Abdul Hadi jahil dan mengelirukan’ – Nik Nazmi

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Nik Nazmi

PETALING JAYA – Naib Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR), Nik Nazmi Nik Ahmad menyifatkan kenyataan oleh Presiden Pas, Tan Sri Abdul Hadi Awang di Dewan Rakyat, semalam sebagai jahil dan mengelirukan rakyat.

Nik Nazmi berkata, cadangan kerajaan adalah untuk menyemak semula saraan penjawat awam sedia, berbeza dengan dakwaan Abdul Hadi yang mengatakan kerajaan bakal mengurangkan atau menghentikan pencen untuk penjawat awam.

“Dalam masa yang sama, kerajaan juga bakal mengkaji opsyen pengambilan penjawat awam baharu dengan faedah persaraan baharu seperti Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) menggantikan skim pencen sedia ada.

“Cadangan ini tidak menyentuh penjawat awam sedia ada,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Malah, Nik Nazmi juga membidas ucapan Abdul Hadi yang seakan-akan memberi gambaran bahawa caruman KWSP adalah tidak Islamik.

“Adakah mantan Menteri Besar Terengganu dan mantan Duta Khas Timur Tengah ini tidak faham KWSP juga suatu perlindungan persaraan?

“Kalau nak dikatakan KWSP tidak Islamik atau mengikut ajaran Rasulullah SAW, pada tahun 2022 Yayasan Islam Kelantan (YIK), agensi Kerajaan Negeri Kelantan, telah melihat skim baru yang dinamakan Skim Jawatan Tetap Bercarum.

“Skim ini menggantikan skim pencen dengan caruman KWSP. Mengapa ketika YIK mengumumkan cadangan ini, tiada bantahan daripada Pas?,” katanya.

Menurut Nik Nazmi, untuk memastikan prinsip-prinsip syariah dipatuhi, suatu rangka kerja tadbir urus syariah diwujudkan untuk mentadbir urus aspek pematuhan syariah bagi Simpanan Shariah para pencarum.

“Apabila bercakap soal keselamatan pekerja seperti sistem perlindungan sosial dan persaraan, saya percaya Pas memiliki banyak kerja yang perlu dilakukan.

“Pusat Asuhan Tunas Islam (Pasti) yang telah ditubuhkan pada tahun 1989 hanya mencarum PERKESO pada tahun 2021, selepas lebih 30 tahun beroperasi,” katanya.

Menurut Nik Nazmi, sehingga hari ini, wujud dakwaan guru-guru di Pasti idak dicarum KWSP dan tidak memiliki apa-apa pelan persaraan malah dibayar gaji bawah gaji minimum iaitu sebanyak RM1,500.

“Setiap kali isu ini dibangkitkan, mereka akan mengatakan guru-guru Pasti bukan bekerja tetapi bersifat sukarelawan.

“Soalan saya, selepas 30 tahun beroperasi, bukankah Pas memiliki tanggungjawab moral untuk memastikan kebajikan guru-guru Pasti terjaga?,” katanya.

Tambah beliau, sebagai seorang yang mempunyai ilmu agama, Abdul Hadi tidak seharusnya mengeluarkan kenyataan jahil yang tidak memberi gambaran sebenar cadangan Kerajaan Persekutuan.

“Pada masa yang sama kenyataaannya itu sendiri bertentangan dengan tindakan Kerajaan Kelantan dan institusi Pas,” katanya.- KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI