fbpx
Pesawah kecil di negara ini perlu diperkasa dengan pelbagai peluang perniagaan berkaitan dengan sawahnya. – GAMBAR HIASAN

K2

Persaingan dalam pertanian elak ketirisan

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

KITA dihujani pelbagai berita ketirisan demi ketirisan yang tidak bermusim tetapi ibarat pekung yang merebak dalam
sistem.

Baru-baru ini kita dikejutkan RM3.67 bilion disalurkan ke Lembaga Pertubuhan Peladang sepanjang 2019 hingga 2022, tetapi yang dibelanjakan untuk pelbagai subsidi hanyalah RM3.2 bilion, manakala selebihnya iaitu RM449 juta tidak dibelanjakan.

Bukan itu sahaja, Laporan Ketua Audit Negara (LKAN) 2019 merekodkan kelewatan penghantaran baja antara 20 hingga 200 hari.

LKAN menghujahkan ini kerugian besar kepada kerajaan dan negara.

Kelewatan menyebabkan produktiviti menurun diikuti pengeluaran.

Malahan,Tahap Sara Diri atau SSL turut mengecil daripada purata 70 peratus satu dekad yang lepas kepada kepada 65 peratus.

Sebenarnya yang menanggung rugi besar adalah petani. Mengikut kajian LKAN (2023) dan Universiti Putra Malaysia, kelewatan baja memang serius dan terbiar hingga kini.

Bukan itu sahaja, selama separuh abad atau 50 tahun, petani telah diberikan satu formula campuran baja untuk semua jenis tanah. Bererti
ada tiga kos yang dibayar oleh rakyatniaitu perolehan baja, kelewatan dan kualiti baja yang tidak sesuai.

Menurut petani, jika berlaku keserentakan kemasukan air, biji benih berkualiti dan baja yang sesuai, hasil
padi 5 hingga 6 tan/ha boleh ada di dalam tangan.

Tetapi keserentakan ini jarang berlaku, sama ada benih lambat atau baja sampai lewat. Musim demi musim, petani termangsa daripada kelembapan sistem
agihan baja dan benih.

Pemusatan agihan baja tanpa sebarang saingan menandinginya menyebabkan agihan yang sangat tidak cekap.

Berdasarkan data Kementerian Pertanian dan Industri Makanan, petani hanya mampu mencapai 3.6 tan/ha dan tidak 5 tan/ha.

Bererti, petani kerugian sebanyak hampir RM1 bilion kerana tidak mencapai hasil maksimum pada tahun 2020. Struktur sistem agihan
input menjerat pendapatan petani.

Mengambil contoh Thailand, agihan baja dan benih di negara itu dilaksanakan oleh petani, koperasi dan usahawan swasta.

Bila ramai peserta, persaingan diwujudkan, petani banyak pilihan, maka kelewatan dan variasi kualiti baja dan benih diminimumkan.

Pada masa yang sama, Thailand mengeluarkan sebanyak 8 peratus baja daripada jumlah penggunaan tempatan. Malaysia pula masih terperangkap dengan dogma polisi 1960-an dan 1970- an.

Premis polisi era ini mungkin sesuai dengan era itu di mana petani sangat miskin, tiada akses kepada maklumat dan sering termangsa kepada ‘orang tengah’ dan tiada akses kepada kredit.

Berdasarkan kepada andaian ini, timbul pandangan bahawa sektor kerajaan mampu mengatasi masalah ini dengan melibatkan diri dalam beberapa aspek pengeluaran dan pemasaran.

Maka, tercetus polisi pemusatan baja dan input pertanian kepada satu agensi. Baja diimport menggunakan dana Kementerian Kewangan dan dicampur dengan urea daripada Petronas.

Persatuan Peladang Kebangsaan bertanggungjawab menjual baja kepada Persatuan Peladang Negeri yang menjualkannya kepada Persatuan Peladang Kawasan (PPK) dan PPK menjual kepada petani. Kaedah ini memungkinkan ketiga-tiga entiti mengambil keuntungan daripada perniagaan yang dibiayai orang awam.

Pemusatan dan perolehan kerajaan yang bernilai besar adalah batas yang subur untuk korupsi seperti yang terbukti dalam kebanyakan kes korupsi di Malaysia. Tanpa disedari sebenarnya kos perolehan dan kerugian akibat kelewatan dan ketidakcekapan sebenarnya adalah dibayar oleh awam.

Begitu juga andaian bahawa mesin dan kilang-kilang besar akan memberi faedah ekonomi. Namun, sebaliknya berlaku.

Kadar pemotongan ke atas padi telah meningkat dari 17 peratus pada 1980- an kepada lebih 20 peratus sekarang, kadar perolehan beras berkitar 65 peratus berbanding kadar maksimum 75 peratus, manakala kerugian lepas tuai jentuai gandum yang berusia lebih 20 tahun adalah lebih 20 peratus.

Selama 50 tahun monopoli import dilaksanakan, nasib petani tetap tidak berubah dan pengguna M40 dan B40 membayar harga beras yang
tidak menepati kualiti sebenar kerana kegiatan campuran beras berleluasa akibat kawalan harga yang ketat ke atas beras tempatan berbanding beras yang diapungkan.

Kegiatan arbitraj oleh peniaga menguntungkan penjual dengan mencengkam pulangan kepada petani. Industri padi dan beras mengalami
deindustrialisasi yang parah kerana industri terkawal menyebabkan tiada pertumbuhan perusahaan mikro kecil dan sederhana (PKMS).

Dalam kurun ke-21, pasaran telah berubah, di mana akses kepada maklumat terbuka kepada semua. Tua dan muda boleh menggunakan platformn online untuk jual beli baja, mesin, padi dan beras dan produk pertanian.

Tetapi polisi mengongkong menyebabkan petani padi ketinggalan dan kerugian. Pemusatan baja kepada satu agensi selama 50 tahun hanya
memberi faedah kepada pegawai atasan agensi dan bukan petani.

Walhal jika pasaran dibukakan, persaingan akan wujud, mengundang pelbagai peserta seperti petani,
usahawan muda, swasta dan koperasi.

Persaingan akan minimumkan kelewatan dan ketidakcekapan, malah mampu menjana pelbagai inovasi sama ada apps ICT atau penerapan e-bizness,
IoT, blockchain dan sebagainya.

Beban kos kepada kerajaan atau rakyat diminimumkan. Persaingan membawa pertumbuhan dan mencetuskan pelbagai inovasi. Fungsi agensi bertanggungjawab membangun kapasiti petani dan bukan memperkasa kekayaan melalui subsidiarinya.

Pendek kata, struktur semasa bukan setakat usang, mencengkam petani, tetapi menyekat pertumbuhan dan
melemahkan inovasi tempatan.

Sistem perolehan besar menyuburkan korupsi dan ketirisan setiap tahun. Simptom ini menunjukkan keparahan sistem semasa yang memerlukan perubahan besar. Untuk
kecekapan dan meminimumkan ketirisan, sistem pemusatan perlu dirungkai di mana persaingan digalakkan untuk mengelakkan perolehan besar dan korupsi.

Pembaharuan bermula dengan paradigma baharu yang selari dengan tuntutan era semasa. Oleh kerana landskap telah berubah dan kebanyakan pesawah adalah kecil, sudah sampai masanya supaya pesawah kecil diperkasa dengan kapasiti dan peluang untuk memperbaiki prestasi dan meneroka perniagaan yang berkaitan
dengan padi dan beras.

Perusahaan mikro, kecil dan sederhana atau PMKS perlu diwujudkan dengan lebih banyak untuk membangunkan industri yang
berlandaskan padi dan beras yang kini hanya terbatas kepada tepung beras, beras dan bihun berbanding ratusan keluaran di Thailand dan Jepun.

Apabila pesawah kecil diperkasa dengan peluang pelbagai perniagaan berkaitan sawahnya, produktiviti dan pendapatan akan meningkat. Apabila
pasaran baja, input, kilang padi dan monopoli beras dibebaskan secara terpimpin dan tersusun, persaingan dan pertumbuhan akan berlaku.

Struktur ini akan mencambahkan start-ups atau pemula untuk berniaga baja, beras, kilang kecil yang pintar. Persaingan dan pasaran terbuka akan
meminimumkan ketirisan kerana peserta menanggung kos perniagaan masing-masing.

Usaha ini tidak akan menjejaskan agensi kerajaan seperti LPP atau peniaga dan pengilang besar yang sedia ada. Kita perkasakan si kecil tanpa mengecilkan
si besar.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN