fbpx

Isa Samad lepas, bebas sembilan tuduhan rasuah

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Isa Samad (dua dari kiri) bersama dengan peguamnya selepas Mahkamah Rayuan di sini hari ini melepas dan membebaskannya atas sembilan pertuduhan rasuah.

PUTRAJAYA – Suasana sebak menyelubungi lobi mahkamah hari ini selepas bekas Pengerusi Felda, Tan Sri Mohd. Isa Abdul Samad dilepas dan dibebaskan atas sembilan pertuduhan rasuah berjumlah RM3 juta berhubung pembelian Merdeka Palace Hotel & Suites di Sarawak.

Keputusan sebulat suara itu dibuat panel tiga hakim diketuai Datuk Vazeer Alam Mydin Meera yang bersidang bersama-sama Datuk Ahmad Zaidi Ibrahim dan Datuk S. M Komathy Suppiah selepas membenarkan rayuan Mohd. Isa selaku perayu untuk mengetepikan sabitan dan hukuman itu.

Pada 3 Februari 2021, Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur mensabitkan Mohd. Isa, 75, atas sembilan pertuduhan rasuah berjumlah RM3 juta berkaitan pembelian Merdeka Palace Hotel & Suites di Kuching oleh Felda.

Kesalahan itu dilakukan di Tingkat 49 Menara Felda, Platinum Park, No 11 Persiaran KLCC di sini antara 21 Julai 2014 dan 11 Disember 2015.

Hakim Mahkamah Tinggi, Datuk Mohd. Nazlan Mohd. Ghazali (kini Hakim Mahkamah Rayuan) yang mendengar kes itu menjatuhkan hukuman penjara enam tahun bagi setiap pertuduhan dan denda RM15.45 juta atau penjara 18 tahun jika gagal membayar denda.

Mohd. Isa bagaimanapun hanya perlu menjalani hukuman penjara selama enam tahun apabila mahkamah memerintahkan kesemua hukuman penjara berjalan serentak.

Hakim itu berpendapat pembelaan yang dikemukakan Mohd. Isa adalah satu perkara yang difikirkan kemudian, tidak konsisten dan hanya penafian tanpa sokongan berasas atau boleh dipercayai.

Mohd. Isa, yang juga bekas Menteri Besar Negeri Sembilan kemudian memfailkan notis rayuan pada 4 Februari 2021.

Sebelum ini, semasa prosiding rayuan 16 Oktober 2023, peguam bela Datuk Salehuddin Saidin berkata, anak guam perlu dilepas dan dibebaskan daripada semua pertuduhan kerana fakta kes menunjukkan tiada bukti Mohd. Isa menerima wang berkenaan.

Beliau juga berhujah bahawa Mahkamah Tinggi menggunakan prinsip undang-undang salah kerana gagal memberi perhatian sewajarnya kepada semua keterangan yang tidak dinilai secara keseluruhan sebelum membuat kesimpulan.

Bagaimanapun, Timbalan Pendakwa Raya, Afzainizam Abdul Aziz berhujah, Mohd. Isa berhasrat untuk mendapatkan suapan walaupun tidak berurusan secara langsung dengan ahli perniagaan Sarawak iaitu Ikhwan Zaidel dalam mana-mana urus niaga yang membabitkan jumlah berkenaan.

Suapan berkenaan dikatakan diterima Mohd. Isa melalui bekas pembantunya, Muhammad Zahid Arip Zahid.

Mohd. Isa diikat jamin sebanyak RM1.5 juta dan perlu melaporkan diri di balai polis berdekatan setiap 1 hari bulan sehingga rayuan kes selesai. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI