Imigresen terpaksa tolak permohonan pas sempadan di Kelantan.

Ramai kempunan ‘bercuti’ di Thailand

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

KOTA BHARU – Jabatan Imigresen (JIM) Kelantan terpaksa menolak sebanyak hampir 420 permohonan pas sempadan daripada rakyat negeri ini setiap hari susulan peningkatan kemasukan pelancong pada musim cuti persekolahan sejak sebulan lalu.

Pengarahnya, Mohd. Faizal Shamsudin berkata, setakat ini, pihaknya menerima sebanyak hampir 700 permohonan pas sempadan setiap hari di Kota Bharu dan tiga pintu keluar ke Thailand iaitu Tanah Merah, Rantau Panjang dan Pengkalan Kubor, Tumpat.

Menurutnya, daripada jumlah itu, hanya 250 hingga 280 permohonan sahaja diluluskan setiap hari.

“Kebiasaannya, sebanyak 5,000 hingga 6,000 buah pas sempadan dikeluarkan setiap bulan. Berdasarkan statistik, sebanyak 100,000 buah pas sempadan dikeluarkan di Kelantan setiap tahun.

“Permohonan pas sempadan akan meningkat semasa musim cuti persekolahan berbanding hari-hari biasa, namun pengeluaran pas tersebut tidak pernah putus bekalan buat masa ini,” katanya.

Mohd. Faizal memberitahu, JIM Kelantan sentiasa mengemaskini stok pas sempadan yang diperoleh daripada ibu pejabat dalam usaha untuk memastikan bekalan dokumen tersebut mencukupi pada setiap masa.

Menurutnya, pemohon perlu mengikut syarat yang ditetapkan iaitu pas tersebut hanya dikeluarkan kepada individu yang lahir di negeri sempadan dengan Thailand iaitu Kelantan, Kedah, Perlis dan daerah Hulu Perak (Gerik, Lenggong dan Pengkalan Hulu) sahaja.

“JIM amat menekankan faktor keselamatan dan kaedah pergerakan keluar atau masuk ke Thailand menggunakan dokumen yang sah iaitu pasport antarabangsa atau pas sempadan.

“Justeru, pemohon terutamanya rakyat di negeri-negeri bersempadan dengan Thailand boleh memilih dua dokumen tersebut untuk masuk ke negara berkenaan,” ujarnya.

Terdahulu, kecoh di media sosial apabila kebanyakan rakyat Kelantan mengeluh selepas mereka tidak dapat membuat pas sempadan di UTC di sini susulan pas tersebut dikatakan kehabisan stok.

Mereka mendakwa, pengeluaran pas sempadan cepat habis meskipun sudah datang pada awal pagi sekali gus menyukarkan urusan untuk bercuti ke Selatan Thailand atau menjenguk saudara-mara di sana semasa musim cuti persekolahan.

Sementara itu, Pengarah Imigresen Kedah, Mohd. Ridzzuan Mohd. Zain berkata, jumlah pengeluaran pas sempadan di negeri berkenaan turut meningkat pada musim cuti sekolah dengan 180 hingga 200 pas dikeluarkan sehari.

Menurutnya, jumlah itu berbeza pada hari biasa apabila sebanyak 150 pas dikeluarkan sehari.

“Setiap hari kita akan keluarkan sebanyak 200 pas sempadan dan mereka yang tidak mendapat pas perlu datang semula pada hari berikutnya.

“Kira-kira 20 permohonan pas tersebut ditolak kerana tidak memenuhi syarat, antaranya alamat luar daripada empat negeri yang boleh buat pas sempadan atau tidak membawa dokumen asal seperti surat beranak dan kad pengenalan,” katanya di sini hari ini.

Tambahnya, pemberian nombor sehari dihadkan kepada 200 pemohon atas faktor hanya terdapat tiga kaunter penerimaan pas sempadan.

“Permohonan paling ramai pada hari Khamis, apabila ramai yang mahu bercuti ke Thailand,” ujarnya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN