fbpx

Curi, terima jam berjenama, dua rakan diperintah jalani khidmat masyarakat

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
KEDUA-DUA tertuduh diiringi anggota polis selepas mengaku bersalah di Mahkamah Majistret Melaka, hari ini.

MELAKA – Dua rakan diperintah menjalankan khidmat masyarakat selama tiga bulan oleh Mahkamah Majistret di sini, hari ini selepas didapati bersalah mencuri dan menerima harta curi iaitu seutas jam tangan berjenama, bulan lalu.

Majistret Nabilah Nizam menjatuhkan hukuman itu terhadap tertuduh, Nur Hafiz Abd Rahim, 42 dan Maziri Mahmud, 41, yang membuat pengakuan tersebut sebaik sahaja pertuduhan dibacakan oleh jurubahasa mahkamah.

Mengikut pertuduhan, Nur Hafiz didapati mencuri seutas jam tangan jenama Garmin Approach S70 sehingga mengakibatkan kerugian berjumlah RM3,210 terhadap syarikat Garmin.

Kesalahan itu dilakukan pada pukul 5.52 petang di butik Garmin di pusat beli-belah Aeon Bandaraya Melaka dalam daerah Melaka Tengah, 6 Februari lalu dan sabit kesalahan, tertuduh boleh dikenakan hukuman penjara sehingga 10 tahun serta denda mengikut Seksyen 380 Kanun Keseksaan.

Sementara itu, Maziri bersama-sama yang masih bebas didapati dengan curangnya menerima jam sama yang dilaporkan hilang dan mempunyai sebab mempercayai ia adalah harta curi antara pukul 5.52 petang hingga 11 malam pada tarikh sama di sekitar lorong dalam daerah Melaka Tengah.

Bagi perbuatan itu, tertuduh didakwa mengikut Seksyen 411 Kanun Keseksaan dan dibaca bersama Seksyen 34 kanun sama, yang memperuntukan hukuman penjara sehingga lima tahun atau denda atau dengan kedua-duanya, jika sabit kesalahan.

Terdahulu, Peguam Faiezad Razali yang mewakili kedua-dua tertuduh dikenakan hukuman alternatif di bawah Seksyen 5 Akta Kehadiran Wajib Pesalah-Pesalah 1954 (Pindaan 2021) kerana masing-masing mempunyai tanggungan keluarga.

Katanya, Nur Hafiz hanya bekerja sebagai penghantar kuih dengan pendapatan bulanan RM1,500 dan perlu menanggung isteri yang tidak bekerja serta anak berusia 10 dan 12 tahun, selain menjaga bapa mentua yang sakit terlantar.

Maziri pula bekerja di kilang dan menanggung isteri serta dua anak berusia 10 dan 14 tahun dengan pendapatan sekitar RM1,600 sebulan.

Timbalan Pendakwa Raya, Fikri Hakim Zamri bagaimanapun memohon hukuman setimpal diberikan sebagai pengajaran terhadap kedua-dua tertuduh dan masyarakat.

Mahkamah kemudian mengarahkan tertuduh dikenakan perintah kehadiran wajib di Pejabat Parol dan Perkhidmatan Komuniti Melaka Tengah selama tiga bulan untuk masa tiga jam sehari.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI