fbpx

MHC beri Sarjit masa bukti kemampuan

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
SUBAHAN mengumumkan pelantikan Sarjit sebagai ketua jurulatih baharu skuad hoki lelaki kebangsaan dengan kontrak selama dua tahun. – FARIZ RUSADIO

KETUA jurulatih baharu skuad hoki kebangsaan, Sarjit Singh boleh menarik nafas lega apabila Konfederasi Hoki Malaysia (MHC) tidak akan membuat penilaian terhadap prestasinya dalam tempoh terdekat.

Sebaliknya, beliau akan diberikan masa secukupnya bagi membentuk struktur pasukan serta memilih pemain terbaik sebelum diberikan petunjuk ­prestasi utama (KPI) yang perlu dicapai selepas ini.

Presiden MHC, Datuk Seri Subahan Kamal berkata, Sarjit yang pernah membimbing pasukan negara bermula 2006 hingga 2008 diberi kebebasan sepenuhnya memilih barisan kejurulatihan skuad kebangsaan.

“Secara jujur, kami tidak meletakkan KPI kepada jurulatih baharu kerana kami percaya beliau masih memerlukan masa. Kejayaan tidak akan datang dalam tempoh yang terlalu singkat.

“MHC akan beri masa kepada beliau untuk buat perancangan sendiri dari segi struktur pasukan serta pemilihan pemain. Mungkin dalam tempoh dua tahun akan dapat lihat hasilnya,” katanya selepas mesyuarat khas MHC di Stadium Hoki Nasional, Bukit Jalil semalam.

Terdahulu, pemilihan Sarjit sebagai ketua jurulatih yang baharu dipersetujui sebulat suara Ahli Majlis Eksekutif MHC de­ngan kontrak selama dua tahun.

Menerusi pelantikan tersebut, Sarjit yang juga jurulatih pasukan hoki Johor mengenepikan cabaran seorang lagi jurulatih tempatan, Muhammad Dharma Raj Abdullah serta dua calon luar negara, Brendan Carolan dan Glenn Turner.

Sebaik sahaja melengkapkan pemilihan pemain selepas ini, Sarjit berdepan misi pen­ting menjelang Piala Sultan Azlan Shah dan Piala Negara-Negara pada Mei depan serta Piala Juara-Juara Asia (ACT) berlangsung September nanti.

Dalam perkembangan lain, Subahan turut mengumumkan Ketua Pegawai Eksekutif (CEO), Nishel Kumar dilantik sebagai Ahli Lembaga Eksekutif MHC selain kembali ke Institut Sukan Negara (ISN) selepas setahun dipinjam.

Kerusi yang ditinggalkan ­Nishel di badan induk sukan hoki itu bakal dipangku Setiausaha Kehormat Persatuan Hoki Negeri Pulau Pinang, V. Jayanandhan.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI