fbpx

KBS tunggu laporan penuh Pesaka kematian atlet silat Terengganu

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
ADAM Adli ketika hadir pada Perhimpunan Atlet Podium Fasa Satu di MSN, hari ini. - MSN

KUALA LUMPUR – Kementerian Belia dan Sukan (KBS) sedang menunggu laporan siasatan penuh daripada Persekutuan Silat Kebangsaan Malaysia (Pesaka) berkenaan insiden kematian yang menimpa atlet silat Terengganu ketika menyertai pra pemilihan Sukan Malaysia (Sukma) di Sikamat, Negeri Sembilan pada Sabtu lalu.

Timbalan Menteri Belia dan Sukan, Adam Adli Abdul Halim berkata, pihaknya tidak boleh mengeluarkan sebarang kenyataan susulan insiden tersebut sama ada berlaku pelanggaran prosedur operasi standard (SOP) ataupun tidak oleh pihak penganjur kejohanan.

Tegas beliau, pihaknya tidak boleh meletakkan kesalahan oleh mana-mana pihak kerana perlu menunggu laporan penuh daripada Pesaka dan juga Pesaka Negeri Sembilan sebagai penganjur kejohanan tersebut.

“Ketika ini, kita dalam peringkat awal menunggu laporan penuh daripada pihak penganjur. Jadi, mereka akan keluarkan laporan berkenaan perkara ini kerana yang menganjurkan kejohanan ini adalah Pesaka Negeri Sembilan. Kejohanan ini dibuat sebagai inisiatif untuk pra pemilihan Sukma.

“Berkenaan insiden tersebut, mereka (Pesaka) akan keluarkan laporan dan kita akan tunggu. Berkenaan pelanggaran SOP dan sebagainya kita tidak boleh mengulas lanjut kerana perlu menunggu laporan daripada mereka terlebih dahulu.

“Laporan tersebut akan diserahkan kepada MSN, Pejabat Pesuruhjaya Sukan (PJS) dan akhirnya ke KBS. Disebabkan itu kita tidak boleh ulas lanjut.

“Di sini, saya ingin mengucapkan takziah kepada keluarga atas kehilangan tersebut dan kita perlu hormati perasaan keluarga. Oleh itu, janganlah kita menunding jari kepada sesiapa atas insiden tersebut,” katanya kepada pemberita selepas Perhimpunan Atlet Program Podium Fasa 1 di Majlis Sukan Negara (MSN), Bukit Jalil hari ini.

Atlet Terengganu, Wan Muhammad Haikal dikatakan rebah dan tidak sedarkan diri sebaik terjatuh ketika pertandingan pra pemilihan Sukma dan telah disahkan meninggal dunia di Hospital Tuanku Ja’afar, Seremban awal pagi semalam.

Dalam pada itu, Adam Adli berharap pihak yang menganjurkan acara sukan berisiko tinggi mengamalkan kod sukan selamat bagi mengelakkan insiden tidak diingini tersebut berulang kembali.

“Sebab itu menerusi kod sukan selamat memang bertujuan bukan sekadar nak lindungi persekitaran atlet tapi memastikan keselamatan dari sudut kejohanan juga. Sukan adalah bidang berisiko tinggi jadi kita kena ada pastikan mewujudkan perlindungan untuk semua pihak,” katanya. -KOSMO! Online

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI