fbpx
SUFI yang merupakan seorang perunding imej dan warna mendapat sijil pentauliahan daripada International Soft Skills & Testing (IITTI), Vancouver, Kanada.

Sufi Syazwani bantu kembalikan keyakinan wanita

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

SEKITAR sedekad lalu, rutin hidup wanita bernama Sufi Syazwani Misnan sama sahaja dari pagi sampailah petang.

Bertugas sebagai seorang pembantu sumber manusia di sebuah syarikat swasta dalam bidang pembinaan menjadikannya tepu dengan tugas hakiki yang sama saban hari.

Beberapa tahun berkhidmat, wanita kelahiran Jalan Kebun, Shah Alam, Selangor ini nekad untuk berhenti makan gaji dan mencabar dirinya untuk melakukan sesuatu yang lari daripada kebiasaan. Kini, dia mengecap kejayaan apabila dirinya menjadi antara perunding imej yang semakin meningkat naik dan dikenali di negara ini. Sufi Syazwani, 32, juga setakat ini mengumpul 86,000 pengikut di TikTok.

Mengimbas detik lalu, akuinya, bukan tidak sayang apatah lagi bersyukur dengan rezeki yang dianugerahkan, namun baginya pada waktu itu sudah tiba masanya untuk dia ‘berganjak’ dan keluar dari zon selesa selama ini.

“Beberapa tahun bekerja dalam unit sumber manusia, saya mula rasa ada sesuatu yang tidak kena.

“Dalam bahasa mudah, saya rasakan asyik lakukan perkara sama secara berulang. Peranan saya sangat kecil dan terhad ketika itu. Boleh dikatakan langsung tidak mencabar,” katanya membuka bicara kepada Aura.

Jelasnya, pada 1 Januari 2017, dia terdetik berhenti kerja dan tinggalkan dunia korporatnya pada usia 25 tahun.

Katanya, selepas berhenti kerja, bukanlah dia terus ‘melompat’ ke dalam bidang perundingan imej yang merupakan salah satu kerjaya impiannya.

“Nak masuk dalam bidang konsultasi dan bergelar perunding imej bukan mudah. Ia memerlukan sijil dan makan modal lebih kurang RM30,000.

“Jadi untuk mencari modal sebelum sertai dunia konsultasi imej, saya mula berbisnes dengan sebuah syarikat jualan langsung berkait kecantikan.

“Daripada bermula sebagai ejen dan dinaikkan pangkat kepada pengarah jualan sampailah ada unit yang sangat besar sehingga 500 orang di bawah kendalian saya. Kerjaya tersebut saya cinta dan ada cabaran tersendiri.

Ketika itu saya juga pernah jadi Top Director dan Top 20 jualan persendirian tertinggi untuk beberapa tahun.

“Dek kerana minat mendalam, sampai sekarang saya masih bersama syarikat tersebut. Di situ jugalah saya kumpul modal dan mula sertai kursus dan dapatkan sijil sampailah berjaya graduasi dalam bidang imej dan warna dari International Soft Skills & Testing (IITTI), Vancouver, Kanada,” ujarnya.

SUFI bersama rakan kongsinya, Nur Amira (kiri) yang mengusahakan Akademi
Maesue.

Sebenarnya, sebelum bergelar perunding imej lagi dia telah berjinak-jinak dengan ‘kerja-kerja mencantikkan orang’ iaitu membuat solekan secara sambilan sejak 2013 lagi.

Jelasnya, dia mula serius dalam bidang konsultasi dan mula mengikuti kursus sejak 2018 hingga ditauliahkan perunding imej dan warna setahun selepas itu. Beritahu Sufi, pada awalnya, dia banyak mengikut mentornya ke mana-mana bengkel dan seminar sebelum bergelar perunding imej.

“Sehinggalah pada 2020, saya dapat laksanakan bengkel sulung atau perdana saya dan dapat sambutan baik.

“Sepatutnya ikutkan perancangan asal, akan ada lagi beberapa siri seminar dan bengkel jururunding imej, tapi dunia pula diserang pandemik Covid-19.

“Jadi, beberapa tahun memang terhenti dan bengkel hanya melalui online sahaja tetapi memang langsung tiada ‘feel’ dan berbeza rasanya,” katanya.

Menurut ibu kepada seorang cahaya mata perempuan berusia dua tahun itu, ketika kerjayanya sebagai perunding imej baru hendak bermula, di situ jugalah ujian dan cabaran bermula.

Akuinya, lebih setahun dia langsung tidak mempunyai job (kerja) seperti bengkel, jemputan ceramah, seminar dan apa jua berkaitan konsultasi imej.

Pun begitu, selepas dunia kembali ‘pulih’ daripada virus maut itu, dia mula bangkit melunaskan impiannya.

“Saya bangkit dan sambung semula pada 2023 dan ketika itu, saya mula tawarkan perkhidmatan konsultasi imej dan warna secara personal (peribadi).

“Bukan sekadar imej dan warna tapi saya juga tawarkan kepada klien untuk suntik keyakinan agar mereka lebih berani dan yakin diri.

“Hingga ke hari ini, perkhidmatan pembangunan diri dan keyakinan yang saya tawarkan sudah didatangi lebih 350 individu,” tuturnya yang berbangga menjadi perunding imej pertama menawarkan sesi secara peribadi (private personal) sejak Julai 2023, sedangkan sebelum ini perunding imej hanya membuat rundingan korporat.

Katanya, selama kariernya, sehingga kini seramai 10,000 wanita telah menerima sentuhannya.

Menyentuh skop kerja sebagai perunding imej, Sufi Syazwani berkata, pertama sekali dia akan menganalisis masalah dan apa yang klien mahu ubah serta tambah baik terhadap dirinya.

Selepas itu, dia akan perbetulkan imej mereka berdasarkan beberapa pertimbangan seperti umur, kerjaya dan status mereka.

“Selain itu pemilihan pakaian, aksesori dan musim warna bagi klien juga akan dilakukan. Pada masa sama, saya beri sesi inovasi untuk pastikan mereka jadi lebih yakin dan berani sebagai wanita selepas pulang bertemu dengan saya,” katanya

Menutup perkongsian, dia yang juga mempunyai sebuah akademi konsultasi imej dan warna, Akademi Maesue bersama rakan kongsi yang hanya mahu dikenali Nur Amira berbangga kerana dunia perundingan imej kian berkembang pada masa kini.

Katanya, kalau dilihat, bidang konsultasi imej dan warna ketika ini semakin diterima baik dengan pelbagai tawaran harga lebih murah didapati berbanding sebelum ini.

“Satu hari nanti, kerjaya sebagai perunding imej akan jadi kerjaya yang semakin diminati dan disegani.

“Bagi wanita dan mana-mana individu yang berminat dan mahu bergelar sebagai perunding imej, silakan dan jangan sekat hasrat anda.

“Bagi yang tiada keberanian, kurang keyakinan dan merasakan diri kurang serta tidak cantik, bolehlah bertemu dengan saya untuk mendapat konsultasi dan selesaikan masalah itu,” katanya.

Ujarnya, dia dan rakannya juga aktif menganjurkan pelbagai bengkel dan seminar selain melahirkan lebih ramai pelapis perunding imej dan warna baharu menerusi akademi yang ditubuhkan pada 2022 itu.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN