fbpx

LHDN tumpu isu ketirisan, tingkat hasil cukai tahun ini

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
GAMBAR HIASAN

CYBERJAYA – Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) akan memberi tumpuan kepada beberapa langkah bagi meningkatkan sasaran kutipan cukai berjumlah RM197 bilion tahun ini.

Ketua Pegawai Eksekutifnya, Datuk Dr. Abu Tariq Jamaluddin berkata, tumpuan akan dilakukan pihaknya berhubung isu ketirisan cukai melibatkan individu yang mempunyai aset dan kekayaan yang tidak setimpal dengan pelaporan cukai.

“Selain itu, tumpuan juga akan diberi kepada pendapatan dari Malaysia disimpan di dalam akaun luar negara yang belum dilapor, transaksi rentas sempadan, harga pindahan domestik, aktiviti atas talian dan kes-kes ekonomi bayangan.

“Perlaksanaan E-Invois juga adalah inisiatif utama LHDN dalam tahun 2024,” katanya ketika ucapan aluan pada Majlis Sambutan Hari Hasil 2024 di sini, hari ini.

Dalam pada itu, Abu Tariq berkata, pada tahun lalu LHDN berjaya memperoleh hasil cukai berjumlah RM183.34 bilion dengan nisbah kutipan cukai 9.91 peratus daripada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK).

“Ia lebih tinggi daripada kadar nisbah cukai KDNK bagi negara-negara di Asia Pasifik yang dalam lingkungan lapan peratus,” katanya.

Beliau turut mengingatkan supaya kakitangan LHDN terus menanam tekad dan memberikan komitmen penuh ketika menjalankan tugas.

“Kita perlu menjalankan tugas secara profesional dan berintegriti, adil dan saksama tanpa mengira status dan pengaruh mana-mana pembayar cukai,” katanya. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI