fbpx

Muhammad Shah, Nurul Syasya dinobat Olaragawan, Olahragawati Johor

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
MUHAMMAD SHAH dianugerahkan Olahgarawan Johor sempena Majlis Anugerah Sukan Johor ke 30 di Persada, Johor Bahru malam tadi. Foto RAJA JAAFAR ALI

JOHOR BAHRU – Atlet berbasikal negara, Muhammad Shah Firdaus Sahrom dan atlet menembak negara, Nurul Syasya Nadiah Mohd. Amin dinobatkan sebagai Olahragawan dan Olahragawati pada Anugerah Sukan Johor kali ke-30, malam tadi.

Kemenangan itu membolehkan pelumba yang diberi julukan The Terminator Shah dan Nurul Syasya Nadiah membawa pulang wang tunai RM7,000 beserta trofi.

Muhammad Shah Firdaus memenangi anugerah itu menewaskan jaguh angkat berat, Mohamad Aniq Kasdan dan pemain badminton perseorangan lelaki negara, Ng Tze Yong.

“Saya merasa cukup bangga menerima anugerah ini buat kali kedua setelah memenanginya pada 2019. Sebelum ini, saya tidak dapat hadir untuk menerimanya kerana berada di luar negara.

“Saya merasa amat bersyukur kerana hadiah ini amat bermakna buat saya kerana di negeri ini, kita mempunyai ramai atlet yang berjasa besar dan mengharumkan nama negara, saya amat menghargainya,” katanya ketika ditemui pemberita.

Anugerah tersebut disampaikan oleh Pengerusi Jawatankuasa Belia, Sukan, Pembangunan Usahawan dan Koperasi negeri, Mohd. Hairi Mad Shah.

Pencalonan Anugerah Sukan Johor ke-30 ini adalah berdasarkan pencapaian atlet, persatuan dan organisasi di temasya Sukan Malaysia (Sukma), antarabangsa dan pentas dunia dan indikator penilaian berdasarkan prestasi pencapaian bagi tahun 2021 dan 2022.

Muhammad Shah Firdaus telah menempah nama bagi sukan berbasikal pada ranking ke-12 bagi acara keirin dan sprint di Sukan Olimpik Tokyo 2021 dan meraih pingat gangsa di Sukan Komanwel Birmingham 2022.

Pada 2021, anak jati Muar itu turut memenangi Kejohanan Berbasikal Trek Kebangsaan Australia 2021 dalam acara keirin dengan mengalahkan rakan senegara, Datuk Azizulhasni Awang.

Sementara itu, Nurul Syasya Nadiah pula cemerlang dengan pencapaian pingat emas acara 10 meter (m) air pistol wanita pada penampilan sulungnya di Sukan SEA 2022, Hanoi, Vietnam dan beberapa kejohanan antarabangsa.

Penembak berusia 20 tahun berasal dari Batu Pahat itu turut menyumbang empat pingat emas untuk kontinjen Johor dalam acara 25 meter (m) sport pistol berpasukan, 10m air pistol wanita individu dan berpasukan serta 10m air pistol campuran pada Sukma 2022.

Bagaimanapun, pemenang Olahragawati Johor itu tidak dapat hadir pada majlis berkenaan dan diwakili ibunya, Zainorida Ngarip.

Nurul Syasya Nadiau menewaskan dua lagi calon iaitu atlet berbasikal, Siti Nur Adibah Akma Mohd Fuad dan atlet menembak Mumtazah Syahidah Shamsuri.

Walaupun gagal meraih sebagai Anugerah Olahragawan Johor, Tze Yong tebus kehampaan apabila dipilih sebagai Olahragawan Harapan manakala atlet terbaik wanita pada Sukma 2022 yang merupakan atlet renang, Tan Rou Xin dipilih sebagai Olahragawati Harapan. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI