fbpx

KDA FC cari dana pendahuluan bayar tunggakan gaji pemain

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
KDA FC mencari dana pendahuluan bagi membayar tunggakan gaji pemain. - GAMBAR HIASAN

ALOR SETAR – Kedah Darul Aman (KDA FC) sedang berusaha mendapatkan dana pendahuluan bagi membayar segera tunggakan gaji pemain dan pegawai pasukan itu yang bertanding dalam Liga Malaysia termasuk staf pentadbiran kelab.

Pemangku Ketua Pegawai Eksekutifnya, Shahrul Samsudin berkata, pengurusan kelab diketuai Tan Sri Dr. Mohd Daud Bakar telah mendapat kelulusan pembiayaan dana daripada institusi tertentu untuk tujuan penyelesaian tunggakan tersebut.

Namun beliau menjelaskan dana itu hanya akan ditunaikan seawal April sedangkan tarikh akhir penyelesaian gaji tertunggak bagi tahun kewangan 2023 yang ditetapkan adalah 5 Mac ini.

“Pihak pengurusan telah menerima makluman daripada Pelesenan Kelab MFL First Instance Body (FIB) bahawasanya KDA FC diberikan tempoh sehingga 5 Mac iaitu sebelum Mesyuarat Lembaga Pengarah (BOD) MFL pada keesokan harinya.

“Rentetan kekangan untuk memenuhi keperluan itu, KDA FC sedang bertungkus lumus mendapatkan dana pendahuluan bagi tujuan pembayaran segera kepada semua. Tan Sri (Mohd. Daud) selaku pemilik majoriti, Lembaga Pengarah dan pengurusan KDA FC mengambil tanggungjawab dengan penuh dedikasi dan telus dalam menangani isu berbangkit terutama aspek kelestarian kewangan,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Sementara itu, Shahrul turut memaklumkan, pihaknya tetap fokus melakukan segala persiapan pasukan-pasukan KDA FC untuk musim 2024-2025 walaupun kelab bergelut dengan isu kelestarian kewangan musim lepas.

Katanya, proses persiapan kini sudah mencapai tahap 85 peratus, namun segala langkah yang diatur bergantung kepada keutamaan penyelesaian tunggakan kewangan tahun 2023.

“Justeru, pengumuman berkenaan pasukan serta penajaan hanya akan dilakukan selepas isu utama diselesaikan, namun pasukan Liga Super kita merancang untuk mula berlatih bagi pra-musim pada minggu hadapan,” ujarnya.

Tambahnya, selain membuka ruang kerjasama melalui pelaburan, penajaan dan usaha sama bagi musim ini, KDA FC sentiasa terbuka kepada mana-mana pihak yang berminat untuk membantu memberikan cadangan jalan penyelesaian segera. –  KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI