MENYEPI. Itu gambaran tepat buat Pierre Andre yang sedekad menghilang daripada industri seni tanpa banyak alasan selama ini.
Tahun demi tahun, anak kepada seniwati senior, Khatijah Tan itu berdiam tanpa hitam putih, sama ada mahu berhenti atau berehat daripada kerjaya yang pernah menjadi kecintaannya.
Tidak hanya tanpa produk seni, Pierre juga tidak aktif dalam media sosial. Ramai tertanya-tanya ke mana perginya anak seni berbakat besar itu.
Usahkan orang luar bahkan si ibu sendiri tidak tahu punca sebenar keengganan putera sulungnya meneruskan karier seni 10 tahun lalu.
Begitupun, 2024 membawa sinar baharu buat anak jati Kuala Lumpur itu apabila kembali terbuka hati turun semula ke gelanggang yang pernah ditinggal.
Bukan sekadar tangkap muat, kali ini dia kembali duduk di kerusi pengarah membikin naskhah Jangan Pandang Belakang 2: Aku Tahu Asal Usulmu yang menjalani penggambaran sejak 19 Februari lalu.

Naskhah tersebut adalah kesinambungan dari filem lakonannya yang pernah menjadi fenomena sekitar 2007 berjudul Jangan Pandang Belakang.
Awalnya, filem berkenaan sepatutnya ditangani Ahmad Idham, namun semuanya berubah apabila Pierre pula diminta mengisi tempatnya duduk di kerusi pengarah.
“Saya cuba untuk tidak lari daripada garapan Ahmad Idham dalam filem ini yang dimulakan belasan tahun lalu, tetapi saya juga ada identiti sendiri sebagai pengarah.
“Tempoh 17 tahun memang lama untuk buat balik filem tersebut. Secara jelasnya, saya masuk ketika projek ini sudah 80 peratus dilaksanakan.
“Sebelum ini ada dengar David mahu hasilkan Jangan Pandang Belakang 2 dan pengarahnya Ahmad Idham, cuma saya tidak tahu masalah sehingga berlakunya rombakan,” katanya membuka bicara.
Dalam masa sama, pemilik nama lengkap Mohd. Pierre Andre Nazrul Andre itu akui, hanya mencantikkan jalan cerita dengan kelebihan yang ada sebagai seorang sutradara.
“Tidaklah saya kata 80 peratus disiapkan Ahmad Idham tetapi ada pasukan yang menghasilkannya sebelum ini.
“Skrip semua sudah siap semasa saya masuk. Saya tukar dan olah perbaiki mana yang perlu kerana benda sudah bagus, saya cantikkan.
“Nanti orang kata Jangan Pandang Belakang seronok tetapi masuk yang kedua jadi biasa. Itu tanggungjawab yang berat,” jelasnya.
Ditanya sama ada karya berkenaan menjadi laluan pembuka buat Pierre kembali aktif dalam industri, tiada jawapan tepat diberikan.
Katanya, segala keputusan akan berbalik kepada skrip, selain setelah melalui perbincangan bersama isteri, Siti Nur Hidayah Hashim.
“Insya-Allah kalau dapat ‘barang’ sedap, semestinya saya akan buat kerana tidak mahu lakukan perkara cincai. Dahulu memang saya harapkan rezeki, kalau tiada kerja tak dapat makan.
“Sekarang saya memilih sikit tetapi tak bermaksud cerewet. Saya berbincang dengan isteri kerana dia individu penting dalam kerjaya saya selama ini,” ujarnya yang mendirikan rumah tangga sejak 2013.

Sukar dihubungi
Menurut Pierre lagi, penglibatannya dalam naskhah terbitan Metrowealth International Group (MIG) adalah rezeki dari Allah kerana sebelum ini dia banyak menolak tawaran membikin filem.
“Saya ambil masa untuk bersetuju dalam projek ini. Sebelum ini saya tolak enam atau tujuh filem sepanjang menghilang tetapi mungkin kali ini rezeki.
“Saya pun masih berfikir kenapa saya menerima tawaran ini. Mesti ada sesuatu Tuhan nak beritahu dan ada hikmah.
“David pun luahkan rasa teruja kerana nak dapatkan saya semula memang susah. Dia cakap memang saya sebagai pilihan pertama,” tambahnya.
Menurut Pierre, ‘susah nak dapatkan’ itu bermaksud, dia sebenarnya sukar untuk dihubungi memandangkan sudah 10 tahun tidak menggunakan telefon bimbit, selain hanya bergantung kepada alat telekomunikasi milik isteri.
Pada masa sama Pierre menolak untuk mempunyai sebarang akaun media sosial biarpun perlu mempromosikan filem baharunya.
“Saya masih tidak tahu ini kemunculan semula atau apa. Kalau ada cadangan untuk wujudkan media sosial mungkin tipis.
“Dari dahulu, saya memang antisosial walaupun bekerja dalam industri hiburan. Bukan tidak bergaul cuma tidak suka benda peribadi ditunjukkan secara terbuka.
“Semua perkara, terutama hal peribadi saya lebih suka simpan sendiri,” ujarnya.
Berhubung alasan menghilang dari industri, Pierre menafikan ada terasa hati dengan mana-mana pihak sehingga berdiam selama 10 tahun. Dia cuma mahu berehat dan enggan dilabel pengemis kerja.
“Saya bukan terasa hati. Ramai orang salah faham mengatakan saya merajuk dengan industri.
“Sebenarnya saya tidak merajuk, saya cuma mencari titik noktah. Orang kerja kerajaan dan swasta ada tahap dia sama ada pencen ataupun bersara.
“Dalam industri tiada. Saya takut saya jadi pengemis kerja dan tidak mahu perkara tersebut berlaku,” tutupnya.















