fbpx
Tampil penuh anggun dengan potongan moden.

Busana sofistikated Rizman Ruzaini inspirasi kisah mistik

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

REKAAN busana yang dihasilkan pereka duo tempatan terkenal, Rizman Nordin dan juga Wan Mohd. Ruzaini Jamil yang merupakan pengasas label Rizman Ruzaini sememangnya antara yang sentiasa dinanti-nantikan bukan sahaja dalam kalangan peminat fesyen tanah air, tetapi juga antarabangsa.

Rekaan moden sofistikated dengan tambahan perincian yang elegan menjadikan setiap helaian yang ditampilkan pereka berbakat besar itu sentiasa tampak mewah dengan gaya tersendiri.

Pereka duo yang mengharumkan nama Malaysia Oktober lalu apabila mempamerkan koleksi mereka di pentas peragaan Dubai Fashion Week yang penuh berprestij baru-baru ini memperkenalkan koleksi terbaharunya iaitu Rizman Ruzaini Couture Raya 2024.

Ujar Wan Mohd. Ruzaini atau lebih dikenali sebagai Ruzaini, Rizman Ruzaini Couture Raya 2024 menampilkan sebanyak 31 rekaan pakaian yang diinspirasikan daripada kisah Seri Gumum iaitu cerita dongeng rakyat tentang seekor naga yang pernah menjelajah perairan gelap Tasik Chini.

“Koleksi kali ini diinspirasikan daripada kisah mistik Seri Gumum yang diterjemahkan menjadi 31 helai busana,” katanya.

Mengimbas kembali momen gemilang Rizman Ruzaini di Dubai Fashion Week tahun lalu, Ruzaini memberitahu bahawa koleksi itu juga sebenarnya diadaptasi dan merupakan kesinambungan daripada koleksi Musim Bunga/Panas 2024 yang diperagakan di sana.

Kesinambungan itu boleh dilihat menerusi rekaan dan palet warna yang digunakan seperti warna hitam, kelabu, jingga dan hijau zamrud.

Perincian mewah seperti manik, batuan Swarovski dan labuci yang mempesonakan menjadi tarikan utama koleksi itu.

Ujar Rizman pula, bagi koleksi lebaran ini, mereka menampilkan dua jenis rekaan iaitu rekaan yang penuh dengan perincian intricate dan juga rekaan sedikit komersial, supaya boleh disesuaikan dengan gaya peribadi pemakai.

Malah, pemilihan fabrik seperti crepe dan sifon dengan potongan moden menjadikan setiap busana koleksi baharu ini tampak cukup terletak pada badan pemakai.

Selain seleksi Couture Collection tersebut, untuk tahun ini, Rizman Ruzaini turut menampilkan Raya 2024 Capsule Collection.

Berbeza dengan Couture Collection, helaian bagi koleksi Capsule ini lebih bersifat effortless, ringkas dengan sentuhan renda dan potongan malar segar yang sememangnya menjadi DNA Rizman Ruzaini selama ini.

Bagi tahun ini, pereka fesyen duo itu memilih aktres dan penyanyi terkenal, Azira Syafinaz sebagai muse mereka.

Jelas Rizman, pemilihan Azira dilihat cukup bersesuaian dengan koleksi ini kerana Azira mempunyai pesonanya yang tersendiri.

“Jika dilihat, kami memang amat berhati-hati setiap kali memilih muse atau wajah yang sesuai untuk membawakan koleksi kami.

“Pemilihan Azira dilihat amat bersesuaian dengan koleksi ini kerana Azira seorang wanita anggun yang bijak membawa diri tatkala berfesyen.

“Selain itu, Azira juga miliki wajah kemelayuan yang menawan, bertepatan dengan musim Aidilfitri ini,” katanya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN