KEHIDUPAN si cantik ini boleh dikatakan sempurna. Dikurniakan suami penyayang dan kehadiran cahaya mata comel menyerikan mahligai perkahwinan, semuanya lengkap.
Lebih membuatkan pemilik nama pentas, Elisya Sandha itu bertuah apabila dia juga dihadirkan keluarga mentua yang sangat mengasihinya.
Mengakhiri zaman bujang pada usia muda iaitu seawal 22 tahun, tidak sedikit pun menerbitkan rasa kesal pada diri Elisya untuk sama-sama membina serta melayari bahtera rumah tangga bersama suami, Uzair Haqimy dan anak mereka, Bunga Elhaq yang hampir memasuki usia dua tahun.
Berkeluarga juga tidak menghalang wanita berusia 25 tahun untuk terus memburu impian dan mengejar cita-citanya dalam bidang seni.
Tangguh tambah zuriat
Bukan tidak puas, namun disebabkan masih ada perkara yang belum dicapai dalam dunia lakonan, Elisya kini menuntun hati menunda perancangannya untuk menambah bilangan zuriat dalam waktu terdekat.
Kata Elisya, dia tidak terburu-buru untuk kembali berbadan dua kerana masih ada cita-citanya yang perlu dikejar, namun tidak menolak sekiranya diberikan rezeki untuk menimang cahaya mata.

“Tahun ini Bunga bakal mencecah usia dua tahun, namun disebabkan tahun ini saya ada impian yang hendak dicapai, nampaknya perancangan untuk menambah bilangan zuriat terpaksa ditangguhkan.
“Tetapi, kalau diberikan rezeki anak, saya tidak menolaknya. Ada rezeki, adalah. Begitu juga suami. Dia tiada masalah, cuma saya sendiri yang merancang bila mahu kembali tambah anak,” katanya.
Tanpa berselindung, Elisya membuat pengakuan ada berbincang dengan suami untuk tidak lagi hamil apabila usianya mencecah 30 tahun.
Kata wanita kelahiran Perlis itu, sebelum usianya menjangkau 30 tahun, dia akan berhenti daripada hamil.
“Saya pernah cakap dengan suami, sebelum usia 30 tahun, saya nak berhenti (mengandung). Saya tak nak dah.
“Jadi saya ada masa lima tahun lagi daripada sekarang. Ikut perancangan saya mahukan anak seramai tiga hingga empat orang, itu pun sudah memadai. Selepas usia 30 tahun, mungkin saya akan ikat sistem peranakan.

“Tapi tengoklah bagaimana, sebab anak itu rezeki Allah SWT. Saya sendiri akui anak itu membawa rezeki yang cukup besar dan saya sangat bersyukur,” ujar Elisya.
Dikawal mentua?
Menyentuh tentang hubungan rapatnya bersama ibu mentua iaitu pelakon dan penerbit drama terkenal, Sheila Rusly, Elisya turut bersyukur apabila kehadirannya dalam keluarga mentua, sangat diterima baik.
Hubungan rapat antara Elisya dan Sheila menjadikan mereka umpama belangkas. Pun begitu, timbul cakap-cakap kehidupan adik kepada pelakon terkenal, Fasha Sandha itu sebenarnya dikawal ibu mentua.
Menafikan dakwaan tersebut, pemilik nama sebenar Nur Elisya Hassan itu malah memaklumkan dirinya menantu kesayangan dalam keluarga suami.
“Ada yang nampak kehidupan saya seolah-olah dikawal mentua. Tapi sebenarnya, saya bertuah kerana menjadi menantu kesayangan mereka.
“Hubungan saya dengan mama (Sheila) rapat sebab kami berkongsi minat yang sama iaitu memasak. Suami saya pula suka makan.
“Jadi saya banyak belajar memasak dengan ibu mentua. Bila kami tinggal bersama, memang banyak ilmu memasak yang diturunkan. Memasak membuatkan hubungan kami sangat akrab,” jelas Elisya.
Pada masa sama, Elisya turut bersyukur apabila kehadiran ibu mentuanya banyak membantunya memudahkan urusan ketika perlu bekerja.
Dia tidak percaya membiarkan Bunga dijaga orang luar seperti pengasuh. Namun, Elisya lega dan tidak terlalu bimbang apabila meninggalkan seketika anaknya dengan mentua ketika dia keluar bekerja atau menjalani penggambaran.
“Sebagai menantu, memang saya hargai bila mentua mahu bantu saya jaga anak.
“Sekurang-kurangnya saya masih dapat bekerja dan kejar cita-cita dalam lakonan.
“Bila ada anak, memang agak terbatas juga, tapi ibu mentua saya sangat ‘supportive’ sebab dia juga berada dalam bidang sama. Malah ibu mentua yang galakkan saya terus kejar cita-cita dalam bidang yang diceburi,” katanya.
Watak penyondol
Menyentuh tentang antara impian yang tercapai, Elisya mendambakan satu watak jahat atau antagonis yang cukup mengesankan.
Katanya, sejak menceburi lakonan sekitar 2014, sehingga kini dia tidak pernah sekali pun membawakan karakter wanita jahat.
“Saya teringin nak bawakan watak antagonis. Sejak dahulu sampai sekarang, tak pernah dapat. Selalu dapat watak wanita baik-baik sahaja.

“Memang teringin. Tapi mungkin sebab pengarah nampak muka saya baik, cara percakapan yang lemah lembut, walaupun saya tak rasa begitu pun.
“Bila berlakon saya mahu keluar daripada menjadi diri sendiri. Sebab itu memang saya teringin nak bawakan watak jahat,” katanya.
Antara karakter ‘dibenci’ dimahukan Elisya juga adalah sebagai wanita penyondol.
Katanya, watak sebegitu sememangnya akan mencetuskan rasa benci penonton.
Jika berhasil, maksudnya dia berjaya bawakan karakter tersebut dengan cemerlang
“Contohnya seperti watak penyondol. Kenapa tidak? Sebab saya hanya pelakon.
“Kalau saya berjaya buatkan orang benci, maksudnya saya berjaya bawakan watak itu,” tuturnya.
















