fbpx

Agrobank sasar 200 usahawan sertai program bimbingan AUM

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Tengku Ahmad Badli Shah (dua dari kiri) menyampaikan Anugerah Prestasi Terbaik kepada penerima pada Majlis Aspirasi Kecemerlangan Perniagaan Peserta AUM 2023 (Kelantan) di Hotel Grand Renai, Kota Bharu hari ini. FOTO ROSMIZAN RESDI/KOSMO!

KOTA BHARU – Agrobank menyasarkan seramai 200 usahawan di seluruh negara menyertai program bimbingan perniagaan, Agrobank Upward Migration (AUM) kendalian Agrobank Centre of Excellence (ACE) tahun ini.

Ketua Pegawai Eksekutifnya, Datuk Tengku Ahmad Badli Shah Raja Husssin berkata, program tersebut dilaksanakan untuk mengenal pasti syarikat perniagaan mikro, kecil dan sederhana yang berpotensi ke tahap yang lebih baik.

Menurutnya, Agrobank melalui ACE akan terus mendokong inisitif untuk melahirkan lebih ramai usahawan berjaya seperti yang telah dirangka dalam Pelan Strategik Perniagaan.

“Program berstruktur selama 12 bulan itu meliputi empat kali sesi latihan kelas sama ada fizikal atau dalam talian dan empat kali sesi bimbingan di premis usahawan.

“Modul yang dibekalkan kepada usahawan antaranya Seni Urus Kewangan, Pemasaran, Penetapan Sasaran Syarikat dan Urus Perniagaan Gaya Korporat,” katanya pada sidang akhbar selepas Majlis Aspirasi Kecemerlangan Perniagaan Peserta AUM 2023 (Kelantan) di Hotel Grand Renai, di sini hari ini.

Mengulas lanjut, Tengku Ahmad Badli Shah berkata, program itu telah bermula di Wilayah Utara iaitu di Kedah, Pulau Pinang dan Perak sejak 2021 sebelum ia diperluaskan ke Kelantan pada tahun lalu.

Katanya, sebanyak 44 daripada 55 buah syarikat yang terlibat di Kelantan telah berjaya merekodkan peningkatan hasil jualan pada tahun lalu.

“Peningkatan jualan terkumpul keseluruhan syarikat dianggarkan sebanyak RM22.66 juta atau bersamaan dengan 15 peratus.

“Selain itu, sebanyak enam buah syarikat telah berjaya dibimbing dan dibantu mendapatkan pembiayaan tambahan daripada Agrobank dengan jumlah keseluruhan sebanyak hampir 2.5 juta,” katanya.

Sementara itu, seorang peserta yang menjalankan perniagaan sejuk beku, Mohd. Farhan Mat Yaacob, 31, berkata, program itu membantu usahawan menerusi pelbagai inisiatif yang ditawarkan.

“Program AUM bukan sahaja membantu daripada segi pembiayaan malah turut menyediakan kursus kepada peserta. Kursus yang ditawarkan antaranya teknik perniagaan dan pemasaran yang diberikan secara percuma,” katanya. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI