fbpx

Tawaran RM20,000 kes Zayn Rayyan: Masih tiada individu tampil

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Zayn Rayyan

PETALING JAYA – Masih tiada pihak tampil memberi maklumat berhubung kes bunuh kanak-kanak autistik, Zayn Rayyan Abdul Matiin, walaupun Yayasan Pencegahan Jenayah Malaysia (MCPF) Selangor menawarkan ganjaran RM20,000 kepada pihak yang membawa kepada penangkapan suspek kes bunuh itu.

Ketua Polis Selangor, Datuk Hussein Omar Khan, berkata setakat ini, tiada perkembangan baharu membabitkan kes berkenaan.

“Seperti mana Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah (Bukit Aman, Datuk Seri Mohd Shuhaily Mohd Zain) maklum, kita tidak pernah putus asa.

“Kita masih meneruskan siasatan dan ada pasukan yang bekerja dalam kes ini,” katanya pada sidang akhbar selepas Majlis Serah Terima Tugas Ketua Polis Daerah Petaling Jaya di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Petaling Jaya, di sini, hari ini.

Pada 6 Februari lalu, Timbalan Pengerusi MCPF Selangor, Datuk Seri A Thaiveegan dipetik berkata, pemberian ganjaran itu dibuat melalui polis Selangor dalam usaha membantu menyelesaikan kes pembunuhan kanak-kanak terbabit.

Kanak-kanak berusia enam tahun itu dilapor hilang pada 5 Disember tahun lalu di Damansara Damai di sini, sebelum ditemukan meninggal dunia berhampiran aliran anak sungai, kira-kira 200 meter dari blok rumahnya di Apartmen Idaman pada keesokannya dan kes itu disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan.

Dalam perkembangan lain, Hussein memaklumkan pihaknya dalam proses melengkapkan siasatan berhubung kes penderaan membabitkan pelajar tahfiz di Madrasah Darul Uloom Al Mustafa (DUAM), Sungai Buloh.

“Madrasah itu kita ada buka kertas siasatan jenayah. Kes disiasat di bawah Seksyen Seksyen 31 Akta Kanak-kanak 2001.

“Siasatan itu memerlukan beberapa tindakan untuk melengkapkan sebelum kita hantar ke pejabat pendakwa raya,” katanya.

Terdahulu, Pertubuhan Nur AlMustafa Malaysia menafikan dakwaan bahawa berlakunya sebarang kejadian pukul dan paksa pelajar tidur di dalam tandas seperti yang dilaporkan oleh sebuah akhbar tempatan baru-baru ini.

Pengerusinya, Hasnul Hakim Mohd. Zain dilaporkan berkata, penyebaran video tersebut adalah fitnah semata-mata yang dilakukan oleh pihak tertentu untuk menjatuhkan reputasi DUAM.

Jelasnya, rakaman tersebut adalah video lama yang diambil pada sekitar tahun 2018, namun disebar oleh seorang lagi tenaga pengajar lain yang telah diberhentikan atas masalah disiplin.

Menerusi rakaman televisyen litar tertutup (CCTV) tersebut, pelajar berkenaan disepak, dipukul dan dilanyak tenaga pelajar terbabit ketika sedang belajar, hujung tahun lalu.-KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI