fbpx

Padam video kejadian di Kajang, hormat keluarga – MCMC

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
MCMC

PUTRAJAYA – Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) menasihati orang ramai untuk memadam kandungan video kejadian lelaki diikat dan dipukul sehingga mati di Taman Pelangi Semenyih 2, Kajang, Selangor, Selasa lepas.

MCMC dalam kenyataan berkata, ia adalah bagi menghormati sensitiviti keluarga mangsa.

Katanya, perkongsian rakaman video mangsa tidak hanya mengguris perasaan keluarga mangsa, malah melanggar prinsip dan etika asas dengan penggunaan grafik berkaitan kecelakaan, kemalangan serta kekerasan yang boleh menimbulkan kegelisahan penonton.

“Sebagai garis panduan berkenaan penciptaan kandungan, rujukan boleh dibuat melalui Kod Kandungan Komunikasi dan Multimedia Malaysia.

“Setiap individu perlu mempertimbangkan sewajarnya untuk tidak menyebarkan video atau kandungan yang berkaitan dengan insiden tersebut,” kata kenyataan itu hari ini.

Jelas MCMC, sebarang perkongsian video atau kandungan melibatkan mangsa serta pihak terlibat boleh dikenakan tindakan di bawah Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998.

Pada Selasa lepas, mangsa berusia 42 tahun itu dipercayai maut selepas ditarik keluar daripada kereta oleh orang awam dan dipukul hingga mati.

Kejadian dipercayai berlaku selepas mangsa yang memandu Proton Saga, dikatakan terbabit kemalangan dengan seorang penghantar makanan dan merempuh pagar sebuah rumah di lokasi kejadian.

Ketua Polis Daerah Kajang, Asisten Komisioner Mohd. Zaid Hassan berkata, pihaknya menerima maklumat mengenai kejadian pada pukul 9.20 malam.

Beliau berkata, bertindak atas maklumat, lima lelaki tempatan berusia 22 hingga 52 tahun ditahan di sekitar Semenyih serta Beranang kira-kira pukul 2.05 pagi pada Rabu lepas.

“Kesemua tangkapan direman selama lima hari sehingga Ahad bagi membantu siasatan,” katanya.

Motif kejadian masih dalam siasatan dan kes disiasat di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan dan Seksyen 41 Akta Pengangkutan Jalan 1987. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI