fbpx

KKR rangka Dasar Selenggara Aset Infrastuktur Negara menjelang 2025

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Ahmad (dua, kiri) ketika gimik perasmian Seminar Antarabangsa Pengurusan Fasiliti (MAFM) 2024 di Hotel dan Residensi UTM, hari ini. Foto SYAKIR RADIN/ KOSMO!

KUALA LUMPUR – Kerajaan menerusi Kementerian Kerja Raya (KKR) bakal mewujudkan Dasar Selenggara Aset Infrastruktur Negara (DSAIN) menjelang 2025.

Timbalan Menteri Kerja Raya, Datuk Seri Ahmad Maslan berkata, dasar baharu itu bukan sahaja melibatkan pengurusan fasiliti di bawah kerajaan, malah binaan di bawah swasta.

“Kita sudah ada dasar Dasar Pengurusan Fasiliti Aset Negara tetapi ia lebih kepada bangunan Kerajaan. Apa yang kita sedang rancang ketika ini ialah DSAIN yang dijangka siap pada 2025,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas merasmikan Seminar Antarabangsa Pengurusan Fasiliti (MAFM) 2024 di Hotel dan Residensi Universiti Teknologi Malaysia (UTM), di sini hari ini.

Pada masa sama Ahmad memberitahu, berdasarkan data Lembaga Pembangunan Industri Binaan Malaysia (CIDB), sebanyak RM138.44 bilion telah diperuntukkan untuk 14,398 projek pada tahun lalu.

“Bagi tahun ini setakat 31 Januari, sebanyak RM5 bilion dianugerahkan untuk 514 projek. Namun, maksud disebalik nilai ini adalah kita hanya mengeluarkan kos pembinaan tanpa memikirkan penyelenggaraan sehingga 50 tahun.

“Kita tidak ada pemikiran ke arah itu dan mentaliti penyelenggaraan ini penting bagi memastikan fasiliti yang dibina kekal kondusif dan selesa untuk digunakan oleh rakyat,” ujarnya.

Tambahnya, penyelenggaraan yang dicadangkan melibatkan pelbagai jenis binaan seperti bangunan, menara, sekolah, hospital, universiti, perumahan, kem tentera, kompleks pasar raya, lebuh raya, jambatan serta pusat rekreasi.

Katanya, perkara tersebut perlu diberi keutamaan dengan menjadikan ia sebagai dasar sesebuah kementerian mahupun organisasi. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI