fbpx

Fiesta Laksa 2.0 himpun lebih 18 jenis laksa dari seluruh negara

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Salah satu menu laksa yang akan dijual pada Fiesta Laksa 2.0 bermula Jumaat ini di Dataran Niaga Penaga Kita, Jalan Permatang Bendahari, Pulau Pinang.

PETALING JAYA –  Laksa yang terkenal dengan pelbagai variasi dan rasa dari pelbagai negeri kini bakal dihidangkan kepada umum pada program Fiesta Laksa 2.0 bermula pada 23 Februari ini hingga 3 Mac ini, anjuran Majlis Pengurusan Komuniti Kampung Bakar Kapor dan Kelab Penaga Kita.

Bertempat di  Dataran Niaga Penaga Kita, Jalan Permatang Bendahari, Pulau Pinang, peminat makanan popular itu boleh menikmati 18 jenis laksa yang dibawa dari seluruh negara.

Pengerusi Majlis Pengurusan Komuniti Kampung Bakar Kapor , Nasrul Hisham Bokhari berkata, kejayaan program Fiesta Laksa 1.0 yang telah diadakan pada bulan Disember tahun lalu memberi semangat dan inspirasi kepada pihak penganjur untuk meneruskan program popular ini malah menambah baik lagi aktiviti agar ia dapat memenuhi keperluan serta citarasa pengunjung.

“Masih dengan matlamat yang sama iaitu mengumpulkan laksa seluruh Malaysia yang berbeza rasa, keunikan dan bahan serta ramuannya. 

“Cuma kali ini pasti lebih hebat, dengan lebih 18 jenis laksa bakal disajikan dari seluruh Malaysia dalam satu program dan dalam satu kawasan. 

“Pulau Pinang memang tak lari daripada gelaran Food Of Heaven jadi  peminat laksa pun ramai,” katanya dalam kenyataan yang dikeluarkan di sini baru-baru ini.

Antara menu laksa yang ditawarkan kepada pengunjung adalah Laksa Penang, Assam Laksa, Laksa Kedah, Laksa Kedah Teluk Kechai, Laksa Lemak pendang, Laksa Beras Sarang Burung, Laksa Singapura, Laksa Siam, Laksa Johor, Laksa Sarawak, Laksa Nyonya Melaka, Laksa Pahang dan Laksa Temerloh Pahang .

Nasrul Hisham menerangkan, bagi mereka yang belum pernah menikmati Laksa Kuah Merah Terengganu atau Laksa Kuale Sarang Burung, mereka boleh mendapatkannya di program tersebut.

Tambah beliau, selain menjadi salah satu aktiviti untuk menarik pelancong tempatan, ia juga dapat membantu penjaja kecil kecilan terdiri golongan penjaja tepi jalan, suri rumah, ibu tunggal yang pandai memasak hidangan tersebut untuk menjadikan program tersebut sebagai platform untuk menambah pendapatan.

Nasrul Hisham menjelaskan,  Fiesta Laksa 1.0 telah berjaya mencatat jualan lebih daripada RM150,000 dalam tempoh empat hari dan menjangkakan jualan pada program tahun ini adalah sebanyak RM1 juta.

“Kami jangkakan pengunjung bertambah kepada lebih 100,000 orang,” ujarnya.

Tambah beliau, pihaknya berhasrat untuk menganjurkan Fiesta Laksa  di peringkat kebangsaan di Putrajaya pada penghujung tahun ini seterusnya bakal memulakan program menjelajah ke negeri lain di Pantai Timur atau di Selatan tanah air. -KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI