SAUDARA PENGARANG,
DI SINI, saya ingin menegur sikap segelintir orang kita yang terlalu tamak dan suka membazir makanan semasa menghadiri kenduri.
Ini kerana sejak minggu lepas, saya telah menghadiri beberapa majlis kenduri kenalan dan saudara-mara di kampung dan juga di ibu kota.
Saya agak terkilan apabila melihat banyak makanan ditinggalkan sama ada di atas meja makan mahu pun di kerusi-kerusi oleh mereka yang tidak bertanggungjawab.
Paling menyakitkan hati apabila ada makanan tersebut langsung tidak disentuh.
Sehinggakan anak saya bertanya, mengapa orang ambil makanan tetapi tinggal merata-rata. Agak terkedu saya nak menjawabnya kerana di rumah saya mendidik anak-anak supaya tidak membazirkan makanan.
Bagi kami setiap makanan itu adalah rezeki dan setiap rezeki itu perlu dijamah dan dimakan sehingga habis.
Kami tidak dapat bayangkan perasaan tuan rumah apabila melihat makanan dan sisa makanan dibiarkan merata-rata di meja serta kerusi sebab semua itu disediakan dengan kos yang besar bukannya percuma.
Cubalah kita merenung nasib saudara kita di Palestin dan negara yang bergolak lain, mereka punyalah susah nak dapatkan makanan. Sementara kita di sini sehingga membazir.
Jangan sampai Allah tarik semula nikmat dan rezeki yang kita kecapi ketika ini. Ubahlah sikap dan mentaliti kita semasa menghadiri kenduri.
Ambil sekadar untuk makan, bukan untuk memenuhi tuntutan nafsu selera semata-mata.
Pak Jargon
Ketereh, Kelantan














