fbpx

Kampung PATI serba lengkap dalam ladang sawit

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Sebahagian warga asing yang diperiksa dalam serbuan bersepadu imigresen bersama PGA, JPN dan MBSA di bekas ladang kelapa sawit di Setia Alam semalam.

SHAH ALAM – Keseronokan sekumpulan pendatang asing tanpa izin menikmati pelbagai kemudahan secara haram dengan membina koloni terancang dan tersusun sejak empat tahun lalu terbongkar dalam satu operasi di Setia Alam di sini semalam.

Perkampungan di tanah bekas ladang kelapa sawit seluas 0.6 hektar itu dihuni oleh warga asing dari Indonesia dan Bangladesh selain ditutup dengan zink di sekelilingnya bagi mengelakkan sebarang aktiviti mereka dilihat.

Serbuan pada pukul 2.38 pagi itu turut mendapati perkampu­ngan itu dilengkapi dengan kemudahan elektrik, surau, warung makanan serta kedai runcit, manakala bekalan air diperoleh dari bukit dan perigi yang digali.

Terdapat tiga subperkampu­ngan di situ dengan setiap kampung dikehendaki membayar sewa RM2,000 sebulan kepada ketua untuk diserahkan kepada tuan tanah.

Rata-rata penduduk yang mendiami kampung itu merupakan bangsa Flores dan Madura dari Indonesia.

Timbalan Ketua Pengarah (Operasi) Jabatan Imigresen, Jafri Embok Taha berkata, serbuan dilakukan selepas pihaknya me­lakukan risikan dan pemantauan sebaik menerima aduan awam mengenai kehadiran warga asing di situ.

Katanya, hasil serbuan dapat memeriksa 156 individu dan dari­pada jumlah itu, 132 ditahan ke­rana melakukan pelbagai kesalahan termasuk tidak mempunyai dokumen perjalanan yang sah.

“130 merupakan warga Indonesia, manakala bakinya melibatkan warga Bangladesh. Mereka terdiri daripada 78 lelaki, 41 wa­nita dan selebihnya ialah kanak-kanak termasuk bayi berusia antara sembilan bulan hingga 60 tahun.

“Rata-rata PATI bekerja sebagai tukang cuci, buruh binaan, pekerja kantin dan restoran di kawasan berhampiran perkampungan haram itu,” katanya pada sidang akhbar di lokasi serbuan.

Operasi itu turut disertai oleh Pasukan Gerakan Am (PGA), Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) dan Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA).

Menurut Jafri Embok, siasatan mendapati kawasan itu mempunyai ketua kampung yang bertugas menjaga hal ehwal lokasi dan penduduknya termasuk mengutip bayaran bulanan sebanyak RM6,000 yang dikenakan oleh tuan tanah.

Tambahnya, perkampungan PATI itu dibahagikan kepada tiga bahagian dengan setiap bahagian dikenakan bayaran sehingga RM2,000.

“Ketua kampung dipilih dalam kalangan mereka yang dianggap se­nior atau paling lama berada di penempatan haram tersebut,” katanya.

Ujar Jafri Embok, semakan akan dilakukan dengan Pejabat Tanah dan Daerah bagi mengenal pasti siapa pemilik tanah yang melindungi PATI berkenaan bagi dikenakan tindakan mengikut Seksyen 55 (E) Akta Imigresen 1959/63. Sabit kesalahan boleh dikenakan hukuman penjara sehingga 12 tahun atau denda sehingga RM30,000 atau kedua-duanya sekali.

“Sehubungan itu, kita me­ngingatkan orang ramai terma­suk majikan agar tidak mengaji atau membenarkan PATI berada dalam premis mereka,” katanya.

Beliau menjelaskan kesemua PATI akan dibawa ke Jabatan Imi­gresen Selangor untuk direman selama 14 hari mengikut Seksyen 51 (5) (b) Akta Imigresen 1959/63.

“Seramai 11,731 PATI telah ditangkap di seluruh negara sepanjang tempoh 1 Januari hingga 15 Februari lalu.

“Daripada jumlah tersebut, 6,036 PATI ditangkap menerusi operasi kerana tidak mempu­nyai dokumen, tinggal lebih masa, langgar syarat sah pas atau pas palsu. Selebihnya ditangkap di pintu masuk atau serahan,” katanya.

Menurut Jafri Embok, ­imigresen juga menahan 111 majikan dengan 58 daripadanya bertindak melindungi PATI.

Seramai 5,131 PATI pelbagai negara telah dihantar pulang, manakala 12,222 masih berada di depot Imigresen dan 752 PATI di depot sementara.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI