fbpx

Lambat, Ubai baru tahu Shila Amzah ‘superstar’ di China

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Ubai sama sekali tidak menyangka isterinya, Shila Amzah sangat terkenal di China.

PETALING JAYA – Pertama kali menemani si isteri menjayakan persembahan di luar negara, pempengaruh media sosial, Ubai terkejut apabila menyedari suri hatinya, Shila Amzah bertaraf ‘superstar’ di China.

Ubai atau nama lengkapnya Muhammad Ubaidillah Mohd Zulkefli, 26, itu, sama sekali tidak menyangka Shila turut menerima sambutan luar biasa dan mendapat layanan lima bintang di negara republik tersebut.

“Hari ini baru aku tahu, isteri aku ini ‘big superstar’. Pertama kali ikut Shila buat persembahan luar negara.

“Dia ni ‘superstar’ rupanya dekat Macau, Hong Kong, Taiwan China dan seangkatan dengannya, Lain macam woah. Pengawal keselamatan ramai dan penonton penuh! Hari ini konsert di Macau, Mac di China.

“Konsert ini sempena Tahun Baharu Cina di The Londoner, Macau,” katanya menerusi satu hantaran dalam platform media sosialnya.

Tidak senada dengan Ubai, semakan Kosmo! Online menerusi ruangan komen hantaran tersebut mendapati rata-rata netizen tidak terkejut kerana sudah lama maklum populariti Shila di sana.

“Lambatlah Ubai, orang dah tahu lama, Shilla memang popular di China, ramai orang sana menghargai bakatnya, apatah lagi dia fasih berbahasa Mandarin,” komen netizen itu.

“Shila rendah diri dan tidak pernah menunjuk kehebatan mahupun pencapaian yang diraih di luar negara, kadang-kadang lupa dia ni sudah berada di tahap antarabangsa seperti Yuna, bangga dengan dia,” demikian komen seorang lagi netizen.

Terdahulu, Shila pernah menjuarai pertandingan Asian Wave 2012 yang berlangsung di Shanghai, China dan sejak daripada itu namanya terus meledak selain digemari ramai pencinta muzik disana.

Shila sebelum ini pernah berkahwin dengan Haris Idraki Elias pada April 2018, namun bercerai pada Februari 2022.

Hasil perkahwinan tersebut, mereka dikurniakan seorang anak lelaki diberi nama Seth Uwais yang kini berusia empat tahun.

Shila kemudian, sah bergelar isteri kepada Ubai pada 5 Ogos 2023 dan kini hamil anak pertama hasil perkongsian hidup bersama. – KOSMO! ONLINE.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI