fbpx

Pindaan Enakmen Jenayah Syariah 1992 perlu mendapat perkenan Sultan Perak

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Mohammad Zahir meninjau sekitar Dewan sempena Mesyuarat Pertama, Tahun Kedua, DUN Perak ke-15 di Bangunan Perak Darul Ridzuan, Ipoh. Foto oleh MUHAMAD NAZREEN SYAH MUSTHAFA/ KOSMO!

IPOH – Dewan Undangan Negeri (DUN) Perak perlu mendapat perkenan Sultan Perak, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah sebelum membuat sebarang perbincangan berhubung Enakmen Jenayah Syariah 1992.

Ia susulan keputusan Mahkamah Persekutuan yang membatalkan 16 kesalahan syariah dalam Enakmen Kanun Jenayah Syariah (I) Kelantan 2019 baru-baru ini.

Speaker DUN Perak, Mohammad Zahir Abdul Khalid berkata, sebuah jawatankuasa khas akan mengkaji enakmen sebelum membuat sebarang keputusan.

“Jawatankuasa tersebut belum bersidang lagi dan akan ambil maklum tentang isu ini. Kedua, isu ini melibatkan hal ehwal agama Islam dan adat Melayu Perak yang melalui perlembagaan perlu mendapat perkenan Sultan Nazrin sebelum memulakan perbincangan.

“Selepas mendapat perkenan Sultan Nazrin, perkara itu dibincangkan di bawah jawatankuasa Majlis Agama Islam Perak (MAIPk) seterusnya persidangan MAIPk sebelum dikemukakan kepada DUN untuk dibahas dan diluluskan,” katanya ketika ditemui di Bangunan Perak Darul Ridzuan di sini hari ini.

Sebelum ini, panel lapan hakim yang dipengerusikan Ketua Hakim Negara, Tun Tengku Maimun Tuan Mat membatalkan 16 kesalahan syariah dalam Enakmen Kanun Jenayah Syariah (I) Kelantan 2019.

Ia susulan petisyen dikemukakan peguam Nik Elin Zurina Nik Abdul Rashid dan anaknya, Tengku Yasmin Nastasha Tengku Abdul Rahman.

Sementara itu, Mohammad Zahir berkata, tempoh persidangan Mesyuarat Pertama, Tahun Kedua, Dewan Negeri Yang Kelima Belas akan berlangsung selama lima hari bermula 23 Februari ini. Seramai 47 Ahli Dewan Negeri diberikan peluang untuk berbahas berkaitan usul itu. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI