FUFU yang memiliki tekstur lembut, licin dan anjal itu dicubit lalu dicicah ke dalam gulai bernama egusi.
Rasa egusi yang pekat dan berkrim menyeimbangkan rasa neutral fufu, sekali gus menjadikan ia cukup sempurna dimakan bersama.
Fufu merupakan ubi kayu yang diperam dan ditumbuk sehingga menjadi bentuk kepalan sebelum dimasak.
Sementara egusi pula merupakan gulai biji kuaci mentah yang dikisar bersama rempah-ratus dan herba.
Untuk pengetahuan, makanan dari Afrika Barat itu pernah tular secara global di TikTok pada 2021 menerusi #FufuChallenge.
Menu popular itu juga merupakan sajian paling laris di Restoran Monakay yang terletak di Taman Perindustrian Oug, Kuala Lumpur.
Menurut pemilik restoran, Mona Rahman, 47, fufu merupakan salah satu daripada enam kepalan kanji yang disajikan di restorannya.
“Antara seleksi kepalan kanji adalah suji, fufu (ubi kayu), amala (keladi yang dikeringkan), gari (ubi kayu ditambah minyak sawit merah), keladi putih dan gandum.
“Setiap kepalan kanji ini memiliki tekstur dan rasa yang sedikit berbeza. Pelanggan boleh memilih mengikut kesesuaian selera mereka,” katanya kepada Horizon.
Restoran Monakay yang dibuka pada 2013 itu menawarkan resipi autentik dari Afrika Barat.

dan coleslaw.
Ini kerana, masakan tersebut disediakan sendiri oleh suami Mona iaitu Kay Kazeem, 47, dari Ibadan, Nigeria.
Kesemua hidangan dimasak dengan menggunakan bahan-bahan seperti rempah dan tepung yang diimport khas dari benua tersebut.
Selain kepalan kanji, antara masakan yang menjadi pilihan pelanggan di restoran tersebut adalah set jollof rice.
Jollof rice merupakan nasi berasaskan tomato dengan menggabungkan rasa masam, pedas, manis dan sedikit rasa asap (smokey).
Nasi tersebut dihidangkan bersama coleslaw, pisang tanduk goreng serta gulai (stu) sama ada kambing, ikan, ayam atau lembu.
Kongsi Mona lagi, proses untuk memasak stu memakan masa sekurang-kurangnya tiga hingga empat jam.
“Proses memasak stu memakan masa lama bagi membolehkan kesemua rempah menyerap ke dalam isi daging.
“Oleh itu, hidangan berasaskan daging kami memiliki tekstur yang lembut dan mudah dikunyah, biarpun dipotong dalam ketulan besar,” jelasnya.
Bagi pelanggan yang mahu makanan yang lebih ‘mencabar’, mereka boleh memesan aneka pilihan sup cili.
Wajar penulis ingatkan, tahap kepedasan sup tersebut agak luar biasa bagi warga tempatan.
Ini kerana, sup tersebut diperbuat daripada cili, sayur dan herba yang dikisar.
Bagaimanapun, masakan tersebut memiliki nutrien yang tinggi dan sering dihidangkan pada acara-acara keraian di Afrika.
Bahkan, ia juga digunakan sebagai hidangan kesihatan bagi mengubati selsema di Afrika Barat.
Tambah Mona, bagi pelanggan yang tidak tahan pedas, mereka boleh mengurangkan tahap kepedasan sup.
“Orang Afrika Barat sememangnya menggemari masakan yang pedas termasuk anak-anak kecil.
“Namun, pelanggan boleh mendapatkan kepastian tentang tahap kepedasan sesuatu menu terlebih dahulu sewaktu mereka membuat pesanan,” katanya.
Restoran Monakay dibuka pada setiap hari kecuali Ahad bermula pukul 1 petang sehingga pukul 11 malam.














