fbpx

45 sampel produk madu tidak patuh peraturan makanan

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Gambar hiasan

PETALING JAYA – Kementerian Kesihatan (KKM) mendapati 45 daripada 769 sampel produk madu pelbagai jenama yang diambil sejak 2016 sehingga kini tidak mematuhi standard ditetapkan di bawah Peraturan-peraturan Makanan 1985.

KKM dalam kenyataan berkata, sehubungan itu tindakan penguatkuasaan telah diambil ke atas syarikat dan produk terlibat.

Katanya, KKM melalui Program Keselamatan dan Kualiti Makanan (PKKM) sentiasa menjalankan pemantauan produk madu di pasaran bagi mengesan madu tiruan.

“Berdasarkan Peraturan 130, Peraturan-peraturan Makanan 1985, produk madu perlu mengikut standard yang ditetapkan antaranya mengandungi tidak kurang daripada 60 peratus gula penurunan, mempunyai kandungan sukrosa tidak lebih 10 peratus dan tidak boleh mengandungi hydroxymethylfurfural lebih daripada 80 mg/kg.

“Seksyen 13(2)(e) memperuntukkan tiada seseorang boleh menyediakan atau menjual sebarang makanan yang diadukkan jika tidak mematuhi standard atau spesifikasi ditetapkan oleh mana-mana peraturan yang dibuat di bawah akta terbabit,” katanya.

KKM turut menegaskan sekiranya seseorang itu didapati melanggar peruntukan tersebut boleh dikenakan denda tidak melebihi RM20,000 atau penjara selama tempoh tidak melebihi lima tahun atau kedua-duanya.

Dalam kenyataan sama, KKM memaklumkan sedang menjalankan kerjasama dengan Agensi Nuklear Malaysia dan Jabatan Pertanian bagi menentukan ketulenan madu menggunakan teknik isotop sebagaimana disarankan standard makanan antarabangsa Codex.

Selain itu, KKM menawarkan Skim Pensijilan Makanan Autentik bertujuan memberikan pengiktirafan terhadap produk makanan yang disahkan autentik atau tulen dan memenuhi kriteria ditetapkan dalam skim pensijilan berkenaan.

“Ini termasuklah produk madu, daging, kopi dan sarang burung walit. Sehingga kini, tujuh syarikat memperoleh pensijilan autentik untuk produk madu daripada KKM,” jelasnya. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI