fbpx

Seorang daripada tiga remaja lemas ditemui pagi ini

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Unit K9 JBPM turut membantu usaha mencari mangsa di Sungai Sempit, Segari hari ini.

LUMUT – Jasad seorang daripada tiga remaja lelaki, Chew Darumaraj, 14, yang dilaporkan lemas di Sungai Sempit, Segari dekat sini, ditemui pada pukul 9.05 pagi kira-kira 500 meter dari lokasi dia dilaporkan hilang, semalam.

Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Perak, Sayani Saidon, berkata, mangsa ditemui oleh pasukan
mencari dan menyelamat (SAR) JBPM.

“Usaha mencari dua lagi mangsa diteruskan dengan operasi SAR bermula pukul 8 pagi tadi dengan membuat tambahan dua lagi unit bot menjadikan jumlah 5 buah bot JBPM.

“Pada masa sama, Unit K9 turut dilibatkan dalam membuat pencarian ini manakala Pasukan Penyelamat Di Air (PPDA) membuat ‘size up’ dan pemantauan di lokasi dan sekitar mangsa dilaporkan tenggelam,” katanya, di sini hari ini.

Dua lagi mangsa yang dilaporkan hilang ketika memancing dan mandi di sungai tersebut ialah G. Sarath dan T.Eishwarpillai, kedua-duanya berusia 16 tahun.

Menurut Sayani, skop pencarian melibatkan empat buah bot adalah di kedua-dua arah sungai kerana sungai tersebut berhampiran muara dan mengalami air pasang surut menyebabkan aliran air berlaku di kedua-dua arah.

Sementara, sebuah bot dalam keadaan bersedia berhampiran muka muara sungai bagi memastikan mangsa tidak hanyut masuk ke laut.

Jelasnya, selain JBPM, bantuan daripada agensi lain seperti Polis Diraja Malaysia (PDRM), Angkatan Pertahanan Awam (APM) dan Persatuan Nelayan Batu 3 Segari turut digerakkan secara bersepadu. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI