fbpx

Dhabitah, Pandelela serah nasib mereka di RTG

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

SEPANG – Ratu terjun negara, Datuk Pandelela Rinong dan Nur Dhabitah Sabri menerima sebarang keputusan apabila kemungkinan mereka bakal digugurkan daripada program Road to Gold (RTG) selepas terlepas tiket ke Sukan Olimpik Paris 2024.

Ketika ini, skuad terjun negara pulang dari Kejohanan Akuatik Dunia di Doha dengan kekecewaan apabila mereka gagal ke temasya empat tahun sekali itu yang membuka tirai pada Julai nanti terutamanya menerusi penerjun senior iaitu Pandelela dan juga Dhabitah.

Pandelela terlepas peluang beraksi di Sukan Olimpik buat kali kelima selepas terkandas awal dalam acara 10 meter (m) platform, selain terlepas peluang ke Paris dalam acara 10m platform seirama bersama Dhabitah.

RATU terjun negara, Datuk Pandelela Rinong ditemui pemberita di KLIA pagi tadi.

Lebih mengecewakan, Dhabitah yang dihimpit kecederaan turut gagal untuk menyerlah dalam acara 3m papan anjal seirama ketika bergandingan bersama Wendy Ng dan juga 3m papan anjal individu.

“Saya memang sudah tahu, dalam RTG ini adalah satu keistimewaan tapi tak bermakna ia meletakkan atlet dalam zon selesa, anda perlu buktikan yang anda layak untuk berada dalam program itu.

“Saya terima sahaja apa jua keputusan yang akan diputuskan dan saya ingin berterima kasih kepada pihak RTG yang selama ini menyokong saya dan membantu saya misalnya ketika Sukan Asia Hangzhou. Cuma kali ini tuah tidak berpihak kepada saya untuk Sukan Olimpik kali ini,” jelas Pandelela ketika ditemui di Lapangan Terbang Kuala Lumpur (KLIA) awal pagi tadi.

Dhabitah turut akur dengan apa jua keputusan yang bakal diputuskan Jawatankuasa RTG hujung bulan ini.

“Saya tidak kisah mana-mana sekali pun, seperti yang saya katakan, saya tahu saya tidak beraksi seperti mana yang saya mahukan. Saya memilih untuk menunggu sebelum membuat sebarang perancangan untuk diri saya, kerana saya benar-benar kecewa,” kata Dhabitah.

Setakat ini, hanya Bertrand Rhodict Lises menjadi wakil tunggal negara layak secara merit ke Paris 2024.

Sementara itu, Menteri Belia dan Sukan, Hannah Yeoh mendedahkan pihaknya akan membuat keputusan mengenai nasib atlet terjun negara dalam program RTG dalam satu mesyuarat yang diadakan tidak lama lagi dan meminta agar semua pihak bersabar sehingga mesyuarat berkenaan diadakan.

“Saya tahu ramai hendak bertanyakan mengenai sukan terjun, namun perlu menunggu sehingga mesyuarat RTG bulan depan.

“Saya sendiri pasti rasa kecewa tetapi saya mahu mendengar penjelasan persatuan sukan, jurulatih dan juga pengarah teknikal. Sekarang Majlis Sukan Negara (MSN) sedang menyusun atur untuk berjumpa dengan mereka,” katanya.  -KOSMO! Online

Ikuti kami di saluran media sosial : Facebook, X (Twitter), Instagram, Youtube, & TikTok

TERKINI

BERITA BERKAITAN