fbpx

Ratusan juta penduduk China balik kampung

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
ANGGOTA polis mengawasi orang ramai yang bersiap untuk menaiki kereta api di Stesen Kereta Api Barat Beijing kelmarin. - AFP

BEIJING – Beratus-ratus juta orang melakukan perjalanan jauh dari bandar-bandar utama di China untuk pulang ke kampung halaman bagi menyambut Tahun Baharu Cina minggu ini dalam peristiwa penghijrahan tahunan terbesar di dunia.

Agensi berita Xinhua melaporkan, sekurang-kurangnya sembilian bilion perjalanan penumpang direkodkan di seluruh China sepanjang cuti Tahun Baru China pada tahun ini.

Di dalam sebuah kereta api sesak dengan penumpang, seorang pekerja sektor teknologi maklumat (IT) dikenali sebagai Sun Jintao melakukan perjalanan dari Beijing untuk pulang ke kampung halamannya setelah beberapa tahun dia tidak menyambut Tahun Baru Cina bersama keluarga.

“Saya tidak pulang ke kampung untuk menyambut Tahun Baru Cina sudah tiga tahun,” kata Jintao yang merupakan warga kota Beijing berusia 28 tahun kepada wartawan AFP ketika ditemu bual di tempat tidurnya di dalam kereta api tersebut.

Sambutan Tahun Baharu Cina pada tahun-tahun sebelumnya dilihat kurang meriah disebabkan sekatan perjalanan menyeluruh oleh pemerintah termasuk kawalan keselamatan dan kuarantin yang ketat akibat wabak Covid-19.

“Ia agak menyusahkan. Tahun lepas saya pulang ke kampung halaman pasangan saya. Tahun ini, saya mesti pulang ke kampung sendiri walau apa jua halangannya,” jelas Sun ketika kereta api dinaikinya hampir tiba ke destinasi terakhir iaitu bandar Handan, wilayah Hebei

Terdahulu, apabila kereta api itu tiba di Beijing untuk mengambil penumpang, cahaya matahari mula muncul di sebalik lapisan awan berjerebu.

Segelintir penumpang yang gagal menempah tempat duduk selepas tiket habis dijual di seluruh negara dilihat mengheret beg mereka dan berusaha mencari tempat duduk kosong untuk meneruskan perjalanan pulang

Udara di dalam kabin kereta api itu dipenuhi bau mi segera. Bau asap rokok merebak dari kawasan merokok di mana beberapa lelaki berkumpul sambil melihat pengembala membawa haiwan ternakan mereka merentasi kawasan berbukit.

Bagi kebanyakan orang ramai, cuti sempena Tahun Baharu Cina dilihat sebagai peluang terbaik untuk pulang dan berehat daripada kehidupan di bandar yang penuh tekanan.

Seorang penumpang lain yang berumur 18 tahun dan turut berasal dari Handan, Dong Hang memberitahu AFP bahawa dia berpindah ke Beijing untuk mendapatkan gaji yang lebih tinggi.

Hang bekerja dari pukul 4 petang hingga 4 pagi selama enam hari seminggu di sebuah restoran berbeku di Beijing.

“Beijing dianggap sebagai bandar tingkat (kasta) pertama, manakala bandar kami (Handan) berada di tingkat ketiga dan keempat di mana gaji bulanan tidak tinggi,” katanya ketika menghabiskan sebatang rokok di laluan antara gerabak.

Tetapi pada minggu ini, Hang mengambil cuti rehat untuk bersama keluarganya.

Hang adalah salah seorang daripada berjuta-juta belia yang berpusu-pusu mencari pekerjaan di bandar-bandar terbesar di China sejak beberapa dekad kebelakangan ini.

Cuti umum sempena Tahun Baru Cina atau dikenali sebagai Festival Musim Bunga di China menjadi hari yang dinanti-nantikan bagi kebanyakan keluarga yang terpisah sepanjang tahun.

Stesen kereta api Beijing dijangka memberi perkhidmatan kepada lebih 4.5 juta penumpang sepanjang tempoh perayaan pada tahun ini, demikian menurut laporan pemerintah seperti dipetik seorang kakitangan syarikat kereta api.

Perjalanan sesak selama 40 hari itu memuncak pada Rabu lepas apabila 192,000 penumpang menggunakan stesen kereta api tersebut. – AFP

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI