TAPAH – Luluh hati seorang ahli perniagaan apabila menerima panggilan memaklumkan isteri dan tiga anaknya terbabit dalam kejadian kepala air di Sungai Kenjur, Kampung Poh, Bidor di sini kelmarin.
Azam Radin Mustapha Amiruddin, 46, berkata, ketika kejadian, dia sedang bekerja di Gopeng sebelum mendapat panggilan daripada anak saudara.
“Saya tiada semasa kejadian kerana berada di tempat kerja di Gopeng, anak saudara yang telefon memaklumkan mengenai kejadian.
“Sebaik sahaja sampai, isteri (arwah) telah ditemui,” katanya ketika ditemui di Unit Forensik Hospital Tapah di sini semalam.
Dalam kejadian kira-kira pukul kira-kira pukul 3.30 petang itu, isteri Azam Radin iaitu Aszura Bani, 37, dan tiga anak mereka, Hanna Mikayla, 7, Hafiy Muhayat, 4 dan Hanum Marissa, 2, ditemui lemas akibat kepala air.
Aszura yang bekerja sebagai penjual buah di Hentian Rehat dan Rawat (R&R) Tapah arah selatan dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Pekan Bidor kira-kira pukul 12.20 tengah hari semalam.
Sepanjang pengebumian Azam Radin kelihatan sugul dan mengalirkan air mata mengiringi pemergian isterinya yang juga anak sulung daripada 13 beradik.
Terdahulu, Allahyarham Aszura, disolatkan di Masjid Al-Muhtadin Bidor kira-kira pukul 11.30 pagi semalam.

Dalam pada itu, adik Aszura, Muhammad Faizal, 36, berkata, mereka sekeluarga memang selalu berkelah di kawasan Sungai Kenjur sebelum ini, namun tidak sesekali menyangka kawasan itu berisiko terjadi kepala air.
“Satu jam sebelum kejadian, saya mesej dia (Aszura) tapi dia cuma balas salam dan minta saya tunggu sebentar. Tidak lama selepas itu, saya terima berita dia ditemui lemas dan tiga anak anak buah saya masih hilang.
“Sepatutnya saya merancang berjumpa dengan arwah malam tadi (kelmarin) di rumahnya di Kampung Masjid, Jalan Sungkai, Bidor,” katanya semalam.
Mayat Aszura ditemui kira-kira 600 meter dari lokasi perkelahan oleh penduduk kampung pada pukul 4.30 petang kelmarin, manakala anak lelakinya, Hafiy Muhayat, 4, pula ditemui pada 9.30 malam hari sama.
Dua lagi anak Aszura iaitu Hanna Mikayla dan Hanum Marissa dijumpai pada pukul 8.55 pagi semalam.
Sementara itu, kakak kepada Azam Radin iaitu Aznur Radin, 51, tidak menyangka kata-kata Hanna Mikayla bahawa kelmarin merupakan hari terakhir persekolahannya menjadi kenyataan apabila dia terkorban dalam tragedi kepala air itu.
“Semalam (kelmarin), selepas dia balik dari sekolah dia ada beritahu pak ciknya yang hari ini (kelmarin) hari terakhir dia ke sekolah. Dia cakap tidak akan ke sana lagi.
“Tidak tahu kenapa dia cakap begitu, mungkin itu gerak hatinya dan tidak sangka pula ia menjadi kenyataan,” katanya.
Menurut Aznur, kejadian kepala air itu memberi tamparan hebat kepada Azam kerana kehilangan isteri dan tiga anak sekali gus.
“Kali terakhir saya berjumpa tiga beradik itu pada Ahad lalu ketika mereka berkunjung ke rumah nenek di Ipoh.
“Tiga beradik itu berulang kali cakap mahu jumpa opah mereka, malah dalam tempoh selang seminggu ini, dua kali mereka datang ke sana. Semasa di sana, saya lihat mereka sangat gembira,” katanya.
















