fbpx

12,846 pengarah syarikat, 179,719 individu disekat ke luar negara – LHDN

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
GAMBAR HIASAN

PETALING JAYA – Seramai 12,846 pengarah syarikat dan 179,719 individu dikenakan sekatan perjalanan oleh Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN), berdasarkan rekod sehingga 31 Disember lalu.

LHDN dalam kenyataannya menjelaskan, tindakan sekatan perjalanan adalah mengikut Seksyen 104 dan 75A Akta Cukai Pendapatan (ACP 1967) dan Seksyen 22 Akta Cukai Keuntungan Harta Tanah (AKCHT 1976).

“Ia antara tindakan diambil ke atas mana-mana individu yang tidak menjelaskan tunggakan cukai mereka setelah tindakan-tindakan berikut diambil.

“Tindakan tersebut ialah pengeluaran surat tuntutan bayaran tunggakan cukai, panggilan telefon, pengeluaran emel pemakluman tunggakan, pengeluaran surat pemberitahuan tindakan sivil di mahkamah dan tindakan guaman sivil,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Sehubungan itu, LHDN mengingatkan, pembayar cukai agar menyemak status tunggakan cukai dan sekatan perjalanan terlebih dahulu agar percutian ke luar negara tidak tergendala.

“Menjelang cuti persekolahan sesi 2023/2024 ini, pastinya pelbagai perancangan percutian telah direncanakan.

“Bagi menyemak status semasa percukaian, pembayar cukai boleh melayari portal MyTax yang boleh dicapai melalui pautan https://mytax.hasil.gov.my/ dan juga semakan status sekatan perjalanan di laman web Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) di https://sspi.imi.gov.my/sspi/,” jelas kenyataan tersebut.

Sekiranya pembayar cukai mempunyai rekod tunggakan cukai serta dikenakan tindakan sekatan perjalanan, mereka adalah dimohon untuk membuat bayaran atau menghubungi pejabat LHDN yang mengendalikan fail cukai mereka untuk tujuan rundingan bayaran ansuran bagi membolehkan mereka meneruskan perjalanan ke luar negara.

Sementara itu, melalui pendekatan Awareness, Education, Services (AES) dalam pelaksanaan operasi percukaian, LHDN sentiasa terbuka dan komited untuk menjadi pemudahcara kepada pembayar cukai.

Katanya, oleh itu pembayar cukai adalah dinasihatkan untuk tampil ke pejabat LHDN bagi berbincang dan berunding dalam mencari jalan penyelesaian yang terbaik sekiranya berhadapan dengan sesuatu kesalahan atau kesulitan.

Sebarang pertanyaan serta maklum balas berkaitan boleh dimajukan kepada Hasil Contact Centre (HCC) di talian 03-8911 1000 / 603-8911 1100 (Luar Negara); HASiL Live Chat; dan Borang Maklum Balas di Portal Rasmi HASiL di pautan pantas https://maklumbalaspelanggan.hasil.gov.my/Public/. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI