fbpx

Laluan di George Town sesak, Seberang Perai masih lancar

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Keadaan trafik masih lancar di Lebuh Raya Utara-Selatan menuju ke Alor Setar di Kedah dan Kuala Lumpur, petang tadi.

GEORGE TOWN – Anak perantau yang tinggal di pusat bandar ini dikatakan memilih pulang ke kampung halaman lewat malam ini dan awal pagi esok sempena meraikan cuti perayaan Tahun Baharu Cina dan cuti akhir persekolahan sesi 2023/2024, bermula hari ini.

Rata-rata mereka mengatakan akan memanfaatkan pemberian tol percuma oleh kerajaan selama dua hari bermula, pukul 12.01 malam tadi.

Tinjauan Kosmo! di beberapa laluan utama sekitar pusat bandar termasuk di Bayan Baru, Bayan Lepas dan Sungai Nibong, petang tadi mendapati berlaku pertambahan jumlah kenderaan yang luar biasa sehingga menjejaskan waktu ketibaan pengguna ke lokasi yang dituju.

Bagaimanapun, keadaan trafik di Seberang Perai dilihat masih lancar di laluan keluar ke Lebuh Raya Utara-Selatan, menghala di kedua-dua arah pada pukul 3 petang.

Keadaan trafik mula sesak di pusat bandar George Town menuju ke Lebuh Raya Tun Dr. Kim Chong Eu, petang tadi. Foto oleh IQBAL HAMDAN/KOSMO!

Seorang pengguna, Ahmad Syafik Isa, 42, berkata, dia dijangka pulang ke kampung halamannya di Melaka pada tengah malam ini kerana mahu mengelak daripada terkandas lebih lama dalam kesesakan jalan raya.

“Selain tidak sanggup menghadap cuaca terik pada waktu siang, saya memilih memulakan perjalanan pulang ke kampung pada waktu malam kerana cuacanya yang dingin dan selesa untuk pemanduan jauh.

“Kali ini, banyak kenderaan dilihat mula membanjiri bahagian pulau sejak petang semalam. Bayangkan, masa perjalanan ke Sungai Nibong dari Bayan Lepas adalah kira-kira hampir dua jam berbanding sebelum ini, hanya 15 hingga 20 minit sahaja, pada jarak enam kilometer,” katanya kepada Kosmo! di sini, semalam.

Sementara itu, seorang lagi pengguna, Nurul Suhada Ahmad, 42, pula berkata, dia tidak sanggup berdepan kesesakan pada waktu kemuncak, bermula pukul 5.30 petang nanti.

“Saya rancang pulang ke kampung di Kota Bharu, Kelantan selepas subuh esok. Ketika ini, keadaan trafik di laluan utama pusat bandar menuju ke Lebuh Raya Tun Dr. Lim Chong Eu mula sesak sejak pukul 3 petang tadi.

“Suasana perayaan Tahun Baharu Cina kali ini agak berbeza sekali berbanding tahun lalu. Banyak kenderaan di beberapa laluan utama di daerah Barat Daya ke arah pusat bandar petang semalam. Namun, keadaan trafik ke Perai dilihat masih lancar,” ujarnya. -KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI