fbpx

Bawah 10 peratus peniaga bazar Ramadan Selangor carum Perkeso

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Ismail (kiri) dan Rizam menyerahkan faedah Perkeso itu kepada Fifi (dua kiri) di Kampung Sungai Tengar, Sungai Air Tawar, Sabak Bernam, hari ini. -Foto ISKANDAR SHAH MOHAMED

SABAK BERNAM – Kesedaran caruman di kalangan 12,000 peniaga bazar Ramadan di Selangor didapati masih rendah apabila didapati bawah 10 peratus sahaja melakukan sedemikian kepada Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso).

Pengarah Perkeso negeri, Ismail Abi Hashim berkata, pemerhatian pihaknya mendapati Kumpulan peniaga tersebut tidak memanfaatkan peluang disediakan kerajaan yang membiayai caruman sebanyak 90 peratus iaitu RM290.50 setahun menerusi Skim Keselamatan Sosial Pekerjaan Sendiri (SKSPS)

“Orang Bekerja Sendiri (OBS) termasuk peniaga bazar Ramadan itu kini hanya perlu membayar RM23.30 bagi mendapatkan perlindungan selama setahun.

“Biarpun perniagaan itu hanya beroperasi sebulan, kita tidak boleh menjangkakan sebarang kemalangan yang boleh berlaku sepanjang tempoh tersebut,” katanya.

Terdahulu, beliau menyerahkan bayaran faedah pengurusan mayat dan penakat bulanan itu kepada Fifi Nur Aressa Mohamad Nazari, 25, yang kehilangan suaminya, Allahyarham Muhammad Shazrizal Mohd. Jamil, 27, di kediaman mereka di Kampung Sungai Tengar, Sungai Air Tawar di sini, hari ini.

Allahyarham Muhammad Shazrizal meninggal dunia akibat kemalangan maut di Lebuh Raya Pantai Barat (WCE) berdekatan Setiawan, Perak, 2 Disember lalu.

Ismail menambah, caruman itu perlu dilakukan berikutan pihaknya turut merekodkan kes melibatkan peniaga bazar tersebut.

“SKSPS itu bukan saja meliputi skim perlindungan ketika Ramadan malah boleh digunakan peniaga ketika berniaga di bulan lain selama setahun.

“Justeru, mereka amat digalakkan untuk membuat caruman bagi menghadapi sebarang kemungkinan pada masa depan jika ditimpa musibah,” ujarnya.

Sementara itu, Fifi yang turut menerima kunjungan Exco Kemajuan Desa, Perpaduan dan Pengguna negeri, Datuk Rizam Ismail memaklumkan bayaran faedah berkenaan akan digunakan bagi perbelanjaan harian tiga anaknya berusia dua hingga enam tahun.

“Selain itu, ia membantu meringankan kos pengajian saya di Open Universiti Malaysia (OUM) dalam jurusan Diploma Teknologi Maklumat. Pemergian arwah suami amat dirasai apatah lagi menjelang Ramadan ini,” katanya. -KOSMO!ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI