KOTA BHARU – Proses pinjaman yang agak mudah selain syarat yang tidak terlalu ketat menyebabkan ada peniaga gelap mata sehingga sanggup menggunakan wang tersebut untuk bermewah.
Seorang pemilik restoran dikenali Bakhtiar, 45, berkata, dia sudah terlibat dalam bidang perniagaan makanan sejak 20 tahun lalu dan telah membuat pelbagai jenis pinjaman sehingga mencecah RM4 juta.
Katanya, perniagaannya bermula dengan baik selepas dia membuat pinjaman RM200,000 dari sebuah bank pada awal pembabitannya.
“Disebabkan rekod pembayaran balik saya lancar, pihak bank mudah untuk meluluskan sebarang permohonan. Saya ada membuat pinjaman sebanyak RM1 juta empat tahun lalu untuk mengembangkan francais restoran, namun pandemik Covid-19 melanda ketika itu.
“Hampir separuh pinjaman itu sebenarnya sudah digunakan untuk mengubah suai rumah dan membeli dua buah kereta secara tunai. Sebenarnya, saya sudah biasa menggunakan wang pinjaman bank untuk kegunaan peribadi.
“Tetapi, nasib saya tidak baik apabila pandemik Covid-19 berlaku. Segala perancangan tidak berhasil apabila perniagaan francais saya gagal dikekalkan sehingga ada yang ditutup,” katanya.
Bakhtiar memberitahu, dia mengakui kebanyakan peniaga yang dikenalinya menggunakan wang pembiayaan bank untuk kepentingan peribadi terutamanya membeli kenderaan pelbagai guna (MPV) mewah yang berharga hampir RM300,000.
“Membeli MPV mewah dan mengubah suai rumah itu merupakan satu penanda aras bahawa perniagaan kita berjaya. Ia juga merupakan satu cara menyakinkan pelabur dan rakan kongsi.
“Sebelum ini, saya berjaya gunakan kaedah itu sehingga pinjaman bank habis dibayar kerana perniagaan berkembang. Kali ini, situasinya berbeza kerana ekonomi kita agak tidak menentu,” katanya.
Bagi seorang peniaga syarikat pencetakan dikenali Akmal, 40, dia mengakui terikut-ikut dengan tunjuk ajar rakan peniaga yang menggunakan pinjaman perniagaan yang kepentingan peribadi.
Menurutnya, dia yang memulakan perniagaan sejak 10 tahun lalu pernah membuat pinjaman daripada beberapa institusi kewangan sebanyak RM1 juta.
“Sebagai contoh, apabila memperoleh wang pembiayaan sebanyak RM300,000, hampir separuh daripadanya akan digunakan membayar deposit membeli kereta atau rumah baharu sebelum dilaburkan ke dalam perniagaan.
“Setakat ini, saya memang menggunakan kaedah itu kerana yakin baki pinjaman yang diperoleh akan mendapat pulangan selepas ia dilaburkan ke dalam perniagaan. Cuma, saya gunakan wang pinjaman itu terlebih dahulu untuk kegunaan peribadi.
“Setakat ini, saya memiliki empat buah kereta termasuk MPV dan tiga buah rumah hasil daripada perniagaan ini,” ujarnya.
Peniaga restoran, Asrul 50, pula berkata, institusi kewangan atau bank mudah untuk meluluskan pembiayaan pinjaman peniaga-peniaga yang mempunyai rekod pembayaran yang baik.
Katanya, faktor tersebut menyebabkan ada peniaga sanggup hidup dalam berhutang kerana mereka tahu institusi kewangan boleh membantu asalkan hutang itu dibayar mengikut jadual.
















