fbpx
Gambar hiasan

Makin ramai selebriti wanita belajar agama

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

SEJAK kebelakangan ini, semakin ramai selebriti wanita menyertai kelas agama di bawah bimbingan guru atau pendakwah bebas.

Antara artis yang dilihatkerap mengikuti kelas agama seperti Aprena Manrose, Heliza Helmi, Uyaina Arshad, Umie Aida dan ramai lagi.

Meskipun kerap dikecam mengenai penampilan yang belum menutup aurat dengan sempurna, pelakon Aprena tetap menggalakkan kaum hawa menyertai kelas agama.

“Saya ikut kelas mengaji pun sebab Kak Betty ajak untuk te­rapi. Saya pula rasa perempuan kena paksa diri cari ilmu.

“Kita perempuan otak ba­nyak prasangka benda tidak bagus. Jadi pergilah ke kelas agama sebab hakikatnya kalau tidak diisi dengan ilmu agama, kita akan fikir bukan-bukan.

“Saya mempelajari ilmu agama untuk kekalkan kehidupan ke arah lebih baik. Ada masa saya tidak pergi kelas, jadi lupa diri sekejap,” kata pelakon berusia 31 tahun itu.

Bagaimanapun, ada juga mulut-mulut jahat terutama segelintir netizen yang tetap bersangka buruk terhadap perbuatan mulia tersebut kononnya sengaja menunjuk-nunjuk untuk berbuat baik.

Menurut pengacara TV AlHijrah, Amie Sofia, dia tidak bersetuju dengan kritikan dilontarkan netizen, sebaliknya menyifatkan budaya ke kelas agama melibatkan selebriti boleh menjadi ikutan ramai.

“Siapa yang cakap begitu kasihanlah kepadanya sebab tidak pergi kelas, tetapi tetap nak mengata kesungguhan serta usaha sebegitu.

“Bagi saya, artis memang biasa suka tunjuk kehidupan mereka dalam media sosial. Malah, apa pun mereka lakukan pasti menjadi ikutan,” katanya ketika dihubungi Kosmo!.

Dalam masa sama, Amie yang juga juara Solehah TV Al-Hijrah turut teruja dengan semangat selebriti yang aktif dalam menyertai kelas agama selain ada yang menganjurkan usrah.

“Sejujurnya saya sangat berbesar hati melihat insiatif selebriti wanita yang ingin belajar ilmu agama.

“Saya suka melihat sema­ngat mereka yang positif. Mereka juga bersungguh-sungguh untuk belajar.

“Saya pula jadi segan sebab mereka artis, tetapi sangat baik. Rasa hormat nak belajar yang buat saya teruja,” kongsinya.

Selain itu, Amie turut berpendapat bahawa inisiatif itu harus diteruskan bukan sahaja selebriti wanita, malah lelaki juga seperti yang dilakukan oleh penyanyi dan pelakon Alif Satar.

Sebelum ini, Alif berjaya menganjurkan solat subuh berjemaah di masjid dengan tanda pagar #GengSubuhMacamJumaat sebagai inisiatif mengajak orang ramai ke masjid.

“Budaya sebegini harus diuar-uarkan supaya menjadi ikutan lebih ramai lagi.

“Artis lelaki pun sudah mainkan peranan seperti Alif Satar yang mengajak orang ramai ke masjid.

“Daripada situ ramai artis lelaki yang tercabar dan ke masjid. Semua menjalankan pera­nan masing-masing,” katanya.

Sebelum menggulung bi­cara, Amie sempat menitipkan pesanan kepada orang ramai untuk tidak cepat mengkritik penggiat seni tempatan yang ingin berubah.

“Menuntut ilmu sangat pen­ting. Pelakon perlu tahu letakkan diri mereka. Mungkin bukan melakukan perubahan secara drastik, tetapi perlahan-lahan.

“Beri peluang kepada mereka. Mungkin mereka baru nak mendalami ilmu dan sebagai­nya.

“Jangan pandang enteng de­ngan usaha mereka. Paling pen­ting kena ada rasa untuk berubah jadi lebih baik,” ujarnya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN