fbpx

Mahkamah: Peter Anthony dibenar kemuka bukti baharu dalam rayuan akhir

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Peter (kanan) ketika hadir di Mahkamah Rayuan Putrajaya hari ini. Foto oleh Faiz Alif Zubir/Kosmo!

PUTRAJAYA – Mahkamah Rayuan hari ini membenarkan Datuk Peter Anthony mengemukakan bukti baharu untuk digunakan dalam rayuan akhirnya bagi mengetepikan sabitan dan hukuman penjara tiga tahun dan denda RM50,000 kerana kesalahan pemalsuan dokumen.

Panel tiga hakim diketuai oleh Datuk Vazeer Alam Mydin Meera yang bersidang bersama-sama Datuk Azman Abdullah dan Datuk Azizul Azmi Adnan membenarkan permohonan bekas Menteri Pembangunan Infrastruktur Sabah itu selepas pihak pendakwaan tidak membantahnya.

Bukti baharu itu berhubung laporan polis yang dibuat oleh saksi pendakwaan ketiga yang juga rakan Peter, Mohd. Shukur Mohd. Din.

Pada prosiding itu, peguam Datuk Nicholas Kow Eng Chuan dan Emile Ezra Md. Hussain mewakili Peter manakala Timbalan-Timbalan Pendakwa Raya Datuk Wan Shaharuddin Wan Ladin, Mohd. ‘Afif Ali dan Haresh Prakash Somiah mewakili pihak pendakwaan.

Mahkamah kemudian menetapkan esok untuk pengurusan kes manakala rayuan akan ditetapkan pada satu tarikh lain.

Sementara itu, Wan Shaharuddin ketika ditemui pihak media di luar mahkamah memaklumkan, mereka tidak membantah kerana berpendapat bukti tersebut tiada kaitan dengan rayuan.

Mengikut pertuduhan, Peter, 53, sebagai Pengarah Urusan Syarikat Asli Jati Engineering Sdn. Bhd., didakwa memalsukan surat pejabat Timbalan Naib Canselor UMS bertarikh 9 Jun 2014, dengan memasukkan pernyataan palsu dengan niat digunakan untuk tujuan menipu.

Dia dituduh melakukan perbuatan itu di pejabat Ketua Setiausaha Sulit kepada Perdana Menteri, bangunan Perdana Putra, Putrajaya antara 13 Jun dan 21 Ogos 2014. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI