fbpx

[VIDEO] Solat hajat atas Jambatan Tendong elak kes lemas berulang

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Majlis Solat Hajat di Jambatan Tendong yang dijalankan di atas jambatan tersebut hari ini. - Foto oleh KAMARUL BISMI KAMARUZAMAN / KOSMO!

PASIR MAS – Kerajaan negeri mengadakan solat hajat atas Jambatan Tendong, di sini hari ini sebagai salah satu usaha bagi mengelakkan kejadian terjun ke Sungai Kelantan dari jambatan itu berulang pada masa akan datang.

Menteri Besar Kelantan, Datuk Mohd. Nassuruddin Daud berkata, pihaknya mengadakan solat hajat dan berdoa sebagai langkah pertama sebelum mengambil tindakan seterusnya selepas ini.

Menurutnya, solat hajat boleh dilakukan di mana-mana sahaja, namun Jambatan Tendong dipilih memandangkan lokasi itu kerap berlaku kejadian terjun jambatan sejak kebelakangan ini.

“Orang terjun atas jambatan, bukan atas masjid. Kalau orang terjun atas masjid, kita buat solat hajat atas masjid.

“Di sini tempat orang terjun, kita buat di sini. Pada hakikatnya, solat hajat boleh dibuat di mana-mana,” katanya selepas Majlis Solat Hajat di Jambatan Tendong di atas jambatan itu hari ini.

Lebih 500 jemaah menghadiri solat hajat yang diimamkan oleh Timbalan Pengerusi Kesatuan Pondok Kelantan, Syeikh Wazir Che Awang.

Mohd. Nassuruddin (tiga dari kiri) menunjukkan petikan hadis larangan membunuh diri yang ditampal di Jambatan Tendong, Pasir Mas. – Foto oleh KAMARUL BISMI KAMARUZAMAN / KOSMO!

Sehubungan itu, jalan sehala dari simpang empat Padang Layang, di sini menghala ke simpang Tiga Tendong, Pasir Mas ditutup bermula 8 malam tadi hingga 12 tengah hari ini.

Mengulas lanjut, Mohd. Nassuruddin memberitahu, pihaknya akan mengadakan perbincangan semula bersama Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) berkaitan cadangan pemasangan jaring bagi mengelak kejadian terjun jambatan dari terus berlaku di masa akan datang.

“Segala keputusan akan dilakukan selepas itu. Mungkin kita akan pertimbang cadangan daripada pihak JBPM untuk pasang jaring apabila mengadakan perbincangan semula.Apa yang penting, kita mulakan usaha dengan solat hajat dan berdoa dahulu,” katanya.

Kosmo! sebelum ini melaporkan, JBPM Kelantan mencadangkan pembinaan penghadang dalam usaha membendung kes terjatuh dari jambatan-jambatan di negeri.

Cadangan itu disuarakan susulan 17 kes jatuh jambatan di Kelantan telah direkodkan bermula 15 November 2021 hingga Januari tahun ini.

Pengarah JBPM Kelantan, Zainal Madasin berkata, kesemua yang terlibat dalam kes itu kemudiannya dijumpai lemas. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI