fbpx

‘Saya rebah sebaik diberitahu dia sudah tiada’ – Rakan anggota tentera

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Jenazah Allahyarham Lans Koperal Mohd Hafiz selamat dikebumikan mengikut istiadat pengebumian ATM di Tanah Perkuburan Islam Masjid Al Wajdi, Bukit Selambau, dekat Sungai Petani tengah malam tadi.

SUNGAI PETANI – Sahabat karib kepada Allahyarham Lans Koperal Mohd Hafiz Haris, 30, tidak dapat menahan sebak apabila sahabat yang dikenalinya sejak kecil dijemput Ilahi dalam kemalangan di Kilometer 77.5 Lebuh Raya Utara-Selatan arah utara, dekat Gurun semalam.

Muhammad Syukri Din, 30, berkata, dia dan arwah saling mengenali sejak mereka berusia dua tahun memandangkan keluarga mereka berjiran sewaktu menetap di Ipoh, Perak.

Syukri berkata, kali terakhir mereka bertemu adalah pada Ogos tahun lalu ketika arwah pulang ke kampungnya di Ipoh, Perak dan mereka bercadang untuk bertemu lagi pada Hari Raya Aidilfitri nanti.

“Saya tak sangka itu adalah pertemuan terakhir kami dan berasa amat terkilan kerana tidak dapat berjumpa dengannya lagi selepas ini,” katanya ketika ditemui di Tanah Perkuburan Islam Masjid Al Wajdi, Bukit Selambau, dekat sini awal pagi ini.

Katanya, dia dimaklumkan mengenai kematian sahabatnya itu oleh adik arwah pada kira-kira pukul 5 petang, semalam.

“Saya rebah sebaik sahaja adik arwah memaklumkan bahawa arwah sudah meninggal dunia dan saya masih belum dapat menerima hakikat bahawa sahabat saya sudah tiada dalam sekelip mata,” ujarnya.

Menurutnya, arwah Mohd Hafiz sememangnya bercita-cita untuk menjadi anggota tentera sejak dari kecil lagi.

“Arwah bercita-cita untuk menjadi anggota tentera sejak kecil kerana ingin mengikut jejak langkah beberapa ahli keluarganya yang turut berkhidmat dalam Angkatan Tentera Malaysia (ATM).

“Alhamdullilah, cita-citanya itu telah terlaksana dan dia meninggal dunia ketika sedang menjalankan tugas dalam bidang yang dia minat pada hari Jumaat pula,” ujarnya.

Tambahnya, meskipun jarang bertemu, namun dia dan arwah sering berhubung melalui telefon.

“Kami sering berhubung melalui panggilan telefon dan baru-baru ini arwah ada hubungi saya untuk berkongsi masalah peribadinya dan meminta pendapat saya memandangkan hubungan kami sudah seperti adik beradik,” jelasnya. – KOSMO! ONLINE.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI