fbpx

Tentera Darat tubuh lembaga siasatan kes kemalangan maut tiga anggota

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
TIGA anggota tentera terbunuh dalam kemalangan membabitkan tiga trak pasukan keselamatan itu dengan sebuah lori di Kilometer 77.5 Lebuh Raya Utara-Selatan arah utara, dekat Gurun hari ini.

ALOR SETAR – Tentera Darat (TDM) akan menubuhkan Lembaga Siasatan Dalaman bagi menyiasat kes kemalangan yang mengakibatkan tiga anggotanya terbunuh dalam kejadian dekat Gurun pada pagi tadi.

TDM dalam satu kenyataan di sini hari ini turut meminta semua pihak agar tidak membuat sebarang kenyataan atau spekulasi berhubung kejadian selain tidak menyiarkan gambar mangsa kemalangan bagi menghormati mangsa dan pihak keluarga.

“Panglima Tentera Darat, Jeneral Tan Sri Muhammad Hafizuddeain Jantan dan seluruh Warga TDM menzahirkan rasa dukacita serta mengucapkan takziah buat waris dan keluarga anggota berkenaan atas kehilangan mengejut ini.

“Sesungguhnya ini merupakan satu kehilangan yang besar buat
TDM serta berdoa agar waris dan keluarga anggota dikurniakan kesabaran dan ketabahan untuk menerima ketentuan Allah SWT,” katanya.

Kenyataan tersebut turut mengesahkan tiga anggota yang terbunuh itu ialah Sarjan Rozali Abdul Rani, Koperal Mohd Asri Idris dan Lans Koperal Mohd Hafiz Haris.

Terdahulu, Kosmo! Online melaporkan tiga anggota tentera terbunuh dalam kemalangan membabitkan tiga trak pasukan keselamatan itu dengan sebuah lori di Kilometer 77.5 Lebuh Raya Utara-Selatan arah utara, dekat Gurun hari ini.

Dalam kejadian kira-kira pukul 10.20 pagi itu, ketiga-tiga mangsa disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian akibat kecederaan parah di kepala dan anggota badan.

Sementara pemandu lori jenis Isuzu berusia 31 tahun mengalami kecederaan parah di kepala dan patah kaki kiri dikejarkan ke Hospital Sultanah Bahiyah (HSB), Alor Setar untuk rawatan. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI